Graphjet Technology berhasrat disenaraikan di Nasdaq dengan penilaian AS$1.49 bilion | DagangNews Skip to main content

Graphjet Technology berhasrat disenaraikan di Nasdaq dengan penilaian AS$1.49 bilion

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 9 Feb - Graphjet Technology Sdn Bhd, pengeluar grafit hijau, berhasrat untuk disenaraikan di pasaran saham Nasdaq dengan nilai perusahaan pro-forma AS$1.49 bilion (RM7.10 bilion) berikutan keluluasan untuk transaksi de-Spac oleh Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Amerika Syarikat.

 

Graphjet berkata perkembangan ini merupakan satu peristiwa penting dalam perjalanannya ke arah menjadi entiti dagangan awam yang bukan sahaja menandakan pertumbuhan perniagaan syarikat tetapi juga komitmennya untuk membentuk ekosistem rantaian bekalan hijau di peringkat global.

 

De-Spac ialah proses yang membolehkan syarikat kendalian persendirian menjadi awam dengan bergabung dengan syarikat shell sedia ada yang dikenali sebagai syarikat pemerolehan tujuan khas (Spac).

 

Selepas penggabungan selesai, syarikat pengendali menjadi tersenarai awam dan boleh menggunakan modal syarikat shell yang dibubarkan.

 

Dalam satu kenyataan, pengasas bersama dan CEO, Aiden Lee Ping Wei, berkata kejayaan syarikat itu berpunca daripada inovasi berterusan, terutamanya dalam teknologi hijau.


 

Aiden Lee Ping Wei
                  Aiden Lee Ping Wei

 


"Usaha penyelidikan kami memastikan kami kekal di barisan hadapan dalam pengeluaran grafit yang mampan.

 

"Kami bukan sahaja menghasilkan grafit hijau tetapi juga di barisan hadapan dalam membangunkan bahan anod bateri hijau termaju. Langkah ini menekankan peranan kami dalam peralihan global ke arah penyelesaian tenaga boleh diperbaharui.

 

"Ini adalah contoh utama bagaimana sumber tempatan boleh memacu kemajuan teknologi global. Penyenaraian ini lebih daripada pencapaian korporat; ia adalah mesej tentang peranan Malaysia dalam naratif teknologi mampan," katanya.

 

Graphjet berkata syarikat itu secara aktif mengambil bahagian dalam usaha global untuk mewujudkan rantaian bekalan yang mampan dalam industri bateri dan grafit.

 

"Produk kami berdiri di persimpangan kecekapan dan kemampanan, menawarkan pelanggan penyelesaian inovatif yang memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk bahan mesra alam," katanya.

 

Syarikat itu menegaskan bahawa kejayaannya bukan sekadar kejayaan korporat tetapi menandakan era baharu bagi ekonomi Malaysia kerana pertumbuhannya akan merangsang penciptaan pekerjaan dan menggiatkan industri tempatan, memupuk ekosistem ekonomi yang teguh berpaksikan amalan mampan.

 

"Fokus Graphjet pada prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus telah menjadi penting kepada model perniagaannya. Dengan mengutamakan amalan mampan, Graphjet mematuhi tanggungjawab korporatnya dan menangani permintaan global yang semakin meningkat untuk produk mesra alam," tambahnya. - DagangNews.com