Greatech raih kontrak baharu terutamanya daripada industri solar | DagangNews Skip to main content

Greatech raih kontrak baharu terutamanya daripada industri solar

KUALA LUMPUR 24 Jan - Greatech Technology Bhd. memperoleh pesanan baharu bagi sistem pengeluaran baharunya yang bernilai RM160 juta, yang dijangka mampu bertahan sehingga suku kedua 2023. 

 

Dalam makluman di Bursa Malaysia, kumpulan berkata, tempahan baharu yang diperoleh itu terutamanya menerusi industri solar. 

 

"Berdasarkan kepada pesanan baharu yang diperoleh kumpulan setakat ini dan kemajuan anak-anak syarikat, kumpulan menjangkakan perkembangan positif dalam sektor solar bagi 2022 dan 2023.

 

"Ini turut disokong menerusi peluang dalam inisiatif teknologi hijau di seluruh dunia dan peningkatan penggunaan tenaga boleh diperbaharui," katanya.

 

Greatech juga menjangkakan ia akan menyumbang secara positif kepada hasil kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 dan 2023. 

 

"Dengan pelaburan terkini kumpulan dalam pengembangan kapasiti, kumpulan kini mampu membekalkan kepada para pelanggan dengan penyelesaian lebih mampan. 

 

"Langkah ini dapat menyokong mereka mengurangkan kos operasi serta menambah baik prestasi alam sekitar," tambahnya. 

 

Pada Oktober lalu, Greatech mengumumkan pembinaan kilang baharu bernilai RM51 juta di Batu Kawan, Pulau Pinang membuktikan komitmennya untuk kekal bertapak di negeri itu sekali gus menyokong pertumbuhan pekerjaan bagi wilayah utara Malaysia.

 

Pembinaannya dijadualkan selesai pada April dan dirancang untuk sedia dihuni pada Mei tahun ini.

 

Kilang baharu yang merangkumi bangunan pejabat dan pengeluaran moden seluas 265,000 kaki persegi serta boleh menempatkan sehingga 500 pekerja itu didirikan di kawasan seluas 2.83 hektar. 

 

Dalam laporan kewangan bagi suku ketiga berakhir 30 September 2021, untung bersih kumpulan meningkat 24.75% kepada RM28.97 juta berbanding RM23.22 juta bagi tempoh sama tahun manakala pendapatan melonjak 25.74% kepada RM95.33 juta daripada RM75.82 juta. 

 

Ketika ditutup petang ini, saham Greatech susut 12 sen atau 2.45% kepada RM4.78 dengan 5.34 juta saham diniagakan. -DagangNews.com