Greatech Technology cari rakan kongsi luaskan operasi ke pasaran Eropah | DagangNews Skip to main content

Greatech Technology cari rakan kongsi luaskan operasi ke pasaran Eropah

KUALA LUMPUR 14 April - Penyedia penyelesaian automasi industri Greatech Technology Berhad berusaha mencari rakan kongsi bagi meluaskan operasinya di pasaran Eropah pada masa masa akan datang.

 

Pengerusi syarikat, Ooi Hooi Kiang berkata, usaha mengembangkan operasi itu dijangka dilakukan menerusi tiga kaedah termasuk pakatan strategik atau penggabungan atau pengambilalihan.

 

Beliau berkata, pihaknya sedang bekerja keras untuk mencari rakan kongsi yang selari dengan strategi perniagaan jangka panjang syarikat.

 

Katanya, lembaga pengarah juga menyedari akan konflik Rusia-Ukraine dan mereka sudah menjalankan kajian terhadap kesan kepada kumpulan dari segi pasaran, risiko perniagaan, pembangunan modal insan dan rancangan pengembangan perniagaan.

 

Beliau berkata, penubuhan pejabat di Amerika Syarikat dan pusat perkhidmatan telah mula membuahkan hasil apabila kumpulan itu melihat peningkatan nilai perolehan kontrak menerusi pejabat itu.

 

“Sebagai sebahagian daripada strategi kumpulan dalam membina pertumbuhan yang mampan, kami sentiasa memperuntukkan 20% sumber dalam membangunkan sektor dan pasaran baharu.

 

“Strategi sedemikian membolehkan kami menembusi sektor baharu dan dengan itu dapat membina saluran yang mampan untuk nilai perolehan kontrak.

 

"Sementara itu sains hayat akan menjadi salah satu sektor utama yang akan kami fokuskan untuk dibangunkan dalam tempoh 12 bulan akan datang,” katanya, lapor Bernama.

 

Sejak Greatech berjaya menembusi pasaran simpanan tenaga boleh diperbaharui pada 2020, Hooi Kiang berkata, perniagaan terus berkembang dengan nilai perolehan kontrak tertunggak meningkat kepada RM546.65 juta berbanding RM351.20 juta sebelumnya.

 

"Selama bertahun-tahun, kami telah berkembang daripada pembuat peralatan automatik tunggal kepada penyedia penyelesaian automasi industri untuk industri seperti solar, storan tenaga, sains hayat, lidar dan semikonduktor," katanya. - DagangNews.com