Greenyield yakin permintaan terhadap getah akan terus meningkat | DagangNews Skip to main content

Greenyield yakin permintaan terhadap getah akan terus meningkat

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Jun - Greenyield Berhad menyuarakan keyakinan bahawa permintaan terhadap komoditi seperti getah akan terus meningkat dan kumpulan itu berhasrat meningkatkan kehadiran mereka di dalam segmen huluan.

 

Pengarah Eksekutifnya, Tham Kin On berkata, harga getah asli secara umumnya mencatatkan peningkatan ketika ini dan ia memberi manfaat kerana mereka menjual input kepada ladang getah dan pada masa sama memiliki ladang getah.

 

Beliau berkata, antara input yang dijual termasuk sistem peningkatan hasil RRIMFLOW, bahan kimia dan baja serta alat kelengkapan.

 

"Baru-baru ini, kami telah mengemukakan cadangan pengambilalihan 65% pegangan dalam Greenyield Rubber Holdings (M) Ltd. yang memiliki  15,313 hektar tanah di Papua New Guinea merangkumi kawasan seluas 6,450 hektar untuk penanaman getah dengan 3,513 hektar sudah ditanam manakala 3,613 hektar untuk penanaman kelapa.

 

"Ia bukan sahaja selari dengan strategi jangka panjang untuk mengembangkan perniagaan perladangan kami tetapi juga memberikan pemilikan kepada tanah pegangan bebas dan tanah pajakan di Papua New Guinea," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Buat masa sekarang, Greenyield memiliki dan menguruskan ladang getah seluas 1,200 hektar di Kelantan yang menyumbang pendapatan sebanyak RM1.4 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 dan ia dijangka bertambah baik apbila pokok semakin matang.

 

Kin On berkata, cadangan pengambilalihan itu juga membolehkan kumpulan itu mempelbagaikan portfolio perladangan mereka merangkumi kelapa selepas mengambil kira kawasan penanaman kelapa.

 

"Kami juga boleh mencipta sinergi baharu dengan menggunakan produk dan teknologi kami bagi meningkatkan hasil.

 

"Bagaimanapun, cadangan itu perlu mendapatkan kelulusan menerusi Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang bakal diadakan tidak lama lagi," katanya.

 

Sementara itu, beliau berkata, segmen barangan rumah menyaksikan permintaan positif daripada pasaran Amerika Syarikat (AS) dan Eropah terhadap produk pasu mereka. 

 

"Kenaikan harga bahan mentah dan tekanan inflasi yang berterusan di AS dan Eropah mungkin mengehadkan keupayaan kami untuk menaikkan harga julan kami kepada pelanggan.

 

"Dari sudut positif, penurunan nilai ringgit memberi manfaat kepada kumpulan kerana lebih 90% pendapatan kami adalah dari luar Malaysia," katanya. - DagangNews.com