Jumlah penganggur menurun kepada 566,600 orang pada Mac 2024, kadar penyertaan buruh naik kepada 70.3% - DOSM | DagangNews Skip to main content

Jumlah penganggur menurun kepada 566,600 orang pada Mac 2024, kadar penyertaan buruh naik kepada 70.3% - DOSM

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Mei - Bilangan penganggur terus menurun kepada 566,600 orang pada Mac 2024, dengan kadar pengangguran 3.3%, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, kedudukan ekonomi yang mengalakkan pada bulan Mac 2024 membolehkan pasaran buruh negara mengekalkan pertumbuhan stabil dengan bilangan tenaga buruh terus mengukuh sebanyak 0.1% menjadi 17.1 juta orang berbanding 17.07 juta pada Februari lalu.

 

Beliau berkata, kadar penyertaan tenaga buruh meningkat kepada 70.3% (Februari 2024: 70.2%), menunjukkan penyertaan buruh yang lebih tinggi dalam pasaran.

 

 

"Bilangan penduduk bekerja terus menunjukkan trend menaik, mencatatkan peningkatan bulan ke bulan sebanyak 0.1% kepada 16.53 juta orang, berbanding 16.51 juta orang yang direkodkan pada Februari 2024 manakala bilangan penganggur pada bulan Mac 2024 berubah sedikit kepada 566,600 orang berbanding 567,000 orang.

 

"Kadar pengangguran pada bulan tersebut tidak berubah iaitu pada 3.3% seperti pada bulan sebelumnya," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

dosm

 

Mengulas mengenai situasi pengangguran, Mohd Uzir berkata, daripada jumlah penganggur pada Mac 2024, sejumlah 79.7% merupakan mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan atau penagnggur aktif.

 

Beliau berkata, kategori itu menurun sebanyak 0.2% merekodkan 451,500 orang (Februari 2024: 452,400 orang) dan berdasarkan tempoh pengangguran bagi penganggur aktif, 61.7% adalah mereka yang menganggur kurang daripada tiga bulan, manakala 6.6% adalah mereka yang berada dalam pengangguran jangka panjang melebihi setahun. 

 

"Penganggur tidak aktif atau mereka yang percaya bahawa tiada pekerjaan tersedia naik sebanyak 0.4% kepada 115,000 orang (Februari 2024: 114,600 orang)," katanya.

 

buruh

 

Beliau berkata, kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 24 tahun pada bulan Mac 2024, kekal pada 10.6% atau 306,300 orang manakala kadar pengangguran dalam kalangan belia berumur 15 hingga 30 tahun adalah 6.6%, dengan bilangan penganggur belia seramai 434,500 orang (Februari 2024: 6.6%; 434,800 ribu orang).

 

Bagi kumpulan tidak aktif, bilangan penduduk di luar tenaga buruh pada Mac 2024 terus berkurang, dengan sedikit penurunan sebanyak 0.003% kepada 7.23 juta orang (Februari 2024: 7.23 juta orang). 

 

"Komposisi utama penduduk di luar tenaga buruh adalah kerja rumah/ tanggungjawab keluarga iaitu pada 42.6%, diikuti oleh sebab bersekolah/ latihan pada 41.4%," katanya.

 

Mengulas lebih lanjut mengenai kedudukan guna tenaga, Mohd. Uzir berkata, pada Mac 2024, 75.1% daripada jumlah penduduk bekerja berada dalam kategori pekerja, mencatatkan peningkatan sebanyak 0.1% kepada 12.42 juta orang berbanding 12.41 juta orang pada Februari 2024. 

 

buruh

 

Begitu juga, trend positif turut dilihat dalam kategori penduduk bekerja sendiri, yang naik sebanyak 0.3% kepada 3.03 juta orang (Februari 2024: 3.02 juta orang).

 

"Dari segi sektor ekonomi, sektor perkhidmatan terus merekodkan trend positif dalam bilangan penduduk bekerja, terutamanya dalam aktiviti perdagangan borong & runcit; perkhidmatan makanan & minuman dan aktiviti maklumat & komunikasi. 

 

"Begitu juga, bilangan penduduk bekerja dalam sektor pembuatan, pembinaan, perlombongan & pengkuarian dan Pertanian juga berada pada trend meningkat pada bulan Mac 2024," katanya.- DagangNews.com