Malaysia kekal menarik dalam kalangan pasaran modal serantau - Amir Hamzah | DagangNews Skip to main content

Malaysia kekal menarik dalam kalangan pasaran modal serantau - Amir Hamzah

Keyakinan pelaburan kepada pasaran modal Malaysia kekal tinggi. -Gambar hiasan NAIM AZIZ/DagangNews
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 10 Mei - Malaysia kekal mempunyai tempat yang menarik dalam kalangan pasaran modal serantau, kata Menteri Kewangan Kedua, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

 

Menurut beliau, ini dapat disaksikan menerusi peningkatan keyakinan pelabur dalam pasaran modal negara memandangkan pembaharuan fiskal yang teguh.

 

"Berikutan memperlihatkan daya tahan yang teguh di tengah-tengah ketegangan geopolitik yang berterusan, prestasi ini adalah bukti kekuatan pasaran kita dan ekonomi Malaysia," katanya.

 

Oleh itu, kata Amir Hamzah sekarang adalah masa yang sesuai untuk pihak berkepentingan institusi mengambil peranan pemangkin dalam menyokong pertumbuhan pasaran modal memacu ekonomi negara ke hadapan.

 

“Saya gembira melihat CIMB memajukan komitmennya ke arah merangsang ekonomi.

 

"Saya yakin ia akan menyumbang kepada ekosistem yang lebih teguh, terutamanya untuk pasaran modal Malaysia," jelasnya dalam Majlis Pelancaran CIMB Securities di Hotel St Regis di Kuala Lumpur hari ini.

 

FBM KLCI Bursa Malaysia kini berada pada paras melebihi 1,600 mata, tertinggi dalam tempoh dua tahun manakala permodalan pasaran mencecah RM2 trillion.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Permodalan pasaran saham Malaysia catat sejarah tertinggi - melepasi RM2 trilion

 

 

cimb
Amir Hamzah Azizan menyempurnakan pelancaran CIMB Securities di Kuala Lumpur hari ini. -Gambar CIMB

 

Majlis tersebut dihadiri Datuk Mohd Nasir Ahmad, Pengerusi CIMB Group, Datuk Abdul Rahman Ahmad, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB Group, Novan Amirudin, Ketua Pegawai Eksekutif Bersama, Perbankan Borong Kumpulan CIMB dan Ruzi Rani Ajith, Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Securities.

 

Hadir sama Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti (SC), Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin dan Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Umar Swift.

 

Pemerolehan KAF Ekuiti melalui CIMB Investment Bank telah disempurnakan pada 8 Februari 2024, berikutan pelupusan baki kepentingan CIMB dalam usaha sama pembrokeran sahamnya (“CGS-CIMB JV”) dengan CGS International Holdings Limited (dahulunya dikenali sebagai China Galaxy International Financial Holdings). Limited) (“CGI”) pada Disember 2023.

 

ARTIKEL BERKAITAN: CIMB Securities lengkapkan 'pendekatan satu bank', tawar perkhidmatan perbankan borong bersepadu

 

Amir Hamzah dalam pada itu mahu melihat lebih banyak lagi penyertaan daripada pihak berkepentingan institusi dan institusi kewangan terkemuka dalam menjadikan Malaysia destinasi pelaburan yang menarik untuk pelabur asing dan tempatan.

 

"Ini memandangkan trajektori ekonomi dalam momentum menaik,” jelasnya sambil menekankan usaha beterusan kerajaan menerusi pelbagai inisiatif merentas kementerian dalam merancakkan ekonomi negara.

 

Kata beliau, Kementerian Kewangan diamanahkan dengan tanggungjawab merangka dasar dan strategi untuk memastikan pertumbuhan mampan, kestabilan kewangan dan kemakmuran untuk seluruh rakyat Malaysia.

 

"Tumpuan kepada mandat ini adalah galakan dan perkembangan pasaran modal Malaysia," katanya.- DagangNews.com