Gromutual cadang ambil alih 18 lot tanah perindustrian berharga RM27.2 juta di Alor Gajah | DagangNews Skip to main content

Gromutual cadang ambil alih 18 lot tanah perindustrian berharga RM27.2 juta di Alor Gajah

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Nov - Gromutual Berhad menerusi Sakae Corporation Sdn. Bhd. memeterai dua perjanjian jual beli (SPA) bersama Hicom Indungan Sdn. Bhd. bagi pengambilalihan 18 lot tanah perindustrian bernilai RM27.2 juta di Alor Gajah, Melaka.

 

Kumpulan itu pada 14 Ogos 2023 memeterai SPA pertama bagi mengambil alih 14 lot tanah seluas 642,510 kaki persegi pada berharga RM18.6 juta manakala perjanjian kedua pada 23 November bagi empat lot tanah berkeluasan 260,924 kaki persegi berharga RM8.6 juta.

 

"Pengambilalihan itu adalah sebahagian daripada pengenalan berterusan kumpulan bagi hartanah yang sesuai untuk mengembangkan perniagaan dalam pembangunan kemudahan industri siap dibina (RBF) untuk dijual atau dipajak kepada rantaian bekalan syarikat multinasional (MNC)," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Pembangunan tersebut adalah mengikut kategori guna tanah termasuk syarat nyata dan tersirat dalam dokumen pengeluaran hakmilik tanah tersebut seperti yang dinyatakan dalam SPA.

 

Pengambilalihan itu akan dibiayai daripada dana yang dijana secara dalaman dan/atau pinjaman bank yang ditentukan kemudian selepas mengambil kira tahap penggearannya, kos faedah serta keperluan tunai dalaman untuk perniagaannya.

 

Pemerolehan itu tidak akan memberi sebarang kesan ke atas modal terbitan dan berbayar serta pegangan saham pemegang saham utama syarikat kerana ia tidak melibatkan sebarang terbitan saham.- DagangNews.com