GSC berhubung dengan pihak berkuasa, cadang pawagam dibuka untuk penonton lengkap vaksin - AmInvest | DagangNews Skip to main content

GSC berhubung dengan pihak berkuasa, cadang pawagam dibuka untuk penonton lengkap vaksin - AmInvest

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 3 Sept. - Syarikat hiburan dan pengedaran filem di Malaysia, Golden Screen Cinemas Sdn Bhd (GSC) difahamkan sentiasa berhubung dengan pihak berkuasa berhubung pembukaan semula operasi pawagam. 

 

Perkara itu didedahkan oleh penganalisis di AmInvestment Bank, Gan Huey Ling yang menghadiri taklimat maya syarikat induk GSC, PPB Group Berhad, semalam.

 

Kata Huey Ling, GSC juga telah memberi cadangan supaya tontonan filem di pawagam hanya dibuka untuk mereka yang telah menerima dos vaksinasi lengkap. 

 

“Dalam pada itu, penonton di pawagam juga perlu memakai pelitup muka setiap masa, kecuali apabila makan atau minum. 

 

“Kira-kira 98% daripada pekerja GSC akan lengkap divaksin menjelang Oktober atau November 2021,” jelas Huey Ling dalam satu nota kajian. 

 

Berhubung perkembangan langkah pengambilalihan aset pawagam MBO, kumpulan menjangkakan ia selesai pada bulan ini. 

 

Baca : GSC beli majoriti pawagam MBO

 

Setelah itu, GSC mungkin memerlukan tempoh sebulan untuk menjenamakan semula pawagam MBO kepada GSC.

 

Sebagai rekod, PPB menerusi PPB Leisure Holdings Sdn Bhd memegang 100% kepentingan di dalam GSC. 

 

Menurut laman web PPB, GSC ketika ini mempunyai 356 pawagam di 36 lokasi. 

 

Pada suku kedua tahun kewangan 2021 (2QFY21), perolehan ternormal PPB menyusut 19.2% berbanding tempoh sama tahun lalu kepada RM284.4 juta susulan sumbangan yang lebih rendah daripada segmen bijirin dan perniagaan tani serta produk pengguna kumpulan.  

 

Namun, bagi tempoh separuh pertama FY21 (1HFY21), kumpulan menyaksikan perolehan ternormal menokok 11.4% berbanding tempoh sama tahun lalu kepada RM535.3 juta, terutamanya dipacu oleh Wilmar International Ltd.

 

AmInvest mengekalkan saranan ‘pegang’ saham PPB dengan nilai wajaran tidak berubah pada kadar RM19.60 sesaham. - DagangNews.com