GSPARX berjaya capai 1,926 projek pemasangan solar untuk komuniti awam dan komersial seluruh Semenanjung Malaysia | DagangNews Skip to main content

GSPARX berjaya capai 1,926 projek pemasangan solar untuk komuniti awam dan komersial seluruh Semenanjung Malaysia

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 27 April - GSPARX Sdn Bhd telah berjaya memeterai 1,926 projek pemasangan panel solar fotovoltaik dengan kapasiti berjumlah 271.9 megawatt (MW) sehingga kini.

 

Anak syarikat Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang ditubuhkan pada Januari 2018 itu memberikan perkhidmatan pemasangan solar di bumbung-bumbung rumah kediaman, bangunan awam dan komersial di seluruh Semenanjung Malaysia.

 

TNB berkata usahanya menerajui pelaksanaan peralihan tenaga yang bertanggungjawab mendapat sokongan berterusan komuniti awam dan komersial, termasuk syarikat antarabangsa seperti Aeon.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din menyifatkan pencapaian itu amat menggalakkan sejajar dengan matlamat negara mencapai neutral karbon menjelang 2050.

 

Beliau berkata kumpulan tersebut semakin mendapat sokongan dengan penglibatan peruncit terbesar Asia dari Jepun, Aeon melalui Aeon Co. (M) Berhad yang mengendalikan rangkaian pasar raya kumpulan itu di Malaysia.

 

 

Datuk Ir. Baharin Din
Datuk Ir. Baharin Din

 

 

“Sebagai syarikat besar yang sentiasa meletakkan standard tinggi, kesediaan Aeon menerima tawaran TNB untuk memasang panel solar adalah cerminan bahawa kualiti perkhidmatan GSPARX adalah menepati jangkaan manakala model perniagaan dikemukakan dapat meningkatkan nilai tambah Aeon,” katanya.

 

GSPARX berjaya mendapat sokongan Aeon yang telah menandatangani Perjanjian Bekalan Tenaga Boleh Baharu (SARE) pada 12 April lalu untuk pemasangan sistem solar di semua 40 pusat beli-belah Aeon dan Aeon BiG di seluruh negara.

 

Perjanjian pemasangan itu adalah yang terbesar setakat ini dengan kapasiti berjumlah 78 MW dan membantu TNB merekodkan sejumlah 3,907MW kapasiti Tenaga Boleh Baharu (TBB), hampir 50% daripada sasaran 8,300 MW dalam perjalanan syarikat utiliti itu ke arah karbon sifar bersih, selari dengan komitmen peralihan tenaga negara.

 

Menurut Baharin, selain boleh menjana tenaga sendiri melalui pemasangan sistem solar dengan perbelanjaan modal sifar, ia membantu Aeon menikmati penjimatan antara 15 hingga 30% kos elektrik.

 

“Organisasi awam dan komersial yang lain wajar mengikut jejak Aeon yang mengambil peluang terbaik inisiatif penjimatan tenaga dan bersama-sama memainkan peranan membangunkan masa depan lebih lestari demi kesejahteraan hidup bersama,” katanya.

 

Baharin berkata jika TNB dan syarikat penjanaan membangunkan ladang solar besar-besaran dalam usaha meningkatkan kapasiti TBB negara, GSPARX bersama komuniti pengguna pula berperanan memberi nilai tambah kepada bumbung-bumbung bangunan menerusi penjanaan tenaga daripada cahaya matahari.

 

Antara organisasi komersial dan awam yang telah mendapatkan khidmat GSPARX ialah Mydin Mohamed Holdings Berhad (MYDIN), SP Setia, Sime Darby Properties, SIRIM, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM). -DagangNews.com