KUALA LUMPUR 26 Okt - GSPARX Sdn. Bhd. (GSPARX) yang merupakan anak syarikat kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) bekerjasama dengan Hotel Primula Beach bagi membantu mereka menjadi pelanggan pertama dalam bidang perhotelan berhijrah kepada sistem solar.
GSPARX telah menyiapkan projek pemasangan sistem solar fotovoltaik di atas bumbung bangunan hotel berkenaan pada Jun 2022 untuk menjana 315.5 kWp (kilowatt peak) kapasiti solar, sekali gus menyuntik elemen Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) kepada TNB dan negara.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti & Teknologi Hijau Negeri Terengganu, Dr. Mamad Puteh menyarankan agar penggiat pelancongan lain turut membangunkan teknologi hijau di hotel dan resort masing-masing bagi membantu melestarikan alam sekitar.
“Berasaskan konsep dan prinsip pembangunan lestari secara berterusan, saya percaya pelbagai langkah dan inisiatif perlu diambil oleh semua pihak dalam usaha untuk mengekalkan kemampanan teknologi hijau agar dapat memberi manfaat jangka panjang kepada semua,” katanya berucap semasa Majlis Perasmian Sistem Solar Primula, baru-baru ini.
Pemasangan panel solar di bawah Perjanjian Bekalan Tenaga Boleh Diperbaharui (SARE) selama 21 tahun itu membolehkan Primula menikmati anggaran penjimatan lebih RM1.49 juta sepanjang tempoh kontrak melalui penjanaan sejumlah 402,000 kWj kapasiti solar setahun.
Inisiatif itu sejajar aspirasi nasional menuju negara neutral karbon menjelang 2050 apabila mampu mengelak pelepasan karbon dioksida dalam kuantum 285 tan metrik setahun, bersamaan dengan menanam 4,716 anak pokok selama 10 tahun atau pelepasan karbon daripada 62 kenderaan setahun di atas jalan raya.
Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah Primula, Datuk Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata, Primula dalam Rancangan Bajet 2023 telah menggariskan lapan inisiatif baharu termasuk meningkatkan penggunaan teknologi hijau yang menjadi tunjang perkembangan sektor pelancongan dan diamalkan secara meluas di peringkat global.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Pelanggan (SME & Residential) Bahagian Retail TNB, Abdul Rahim Abd. Jamil berkata, penghijrahan Primula kepada Tenaga Boleh Baharu (RE) ini menepati agenda Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), yang menetapkan sasaran 31% RE dalam kapasiti terpasang pada tahun 2025 dan 40% menjelang tahun 2035.
“Pelaksanaan SARE dengan Primula ini adalah perjanjian pertama GSPARX dengan industri perhotelan di negara ini.
"Model ‘Zero Capex’ ini menjadikan GSPARX sebagai pemilik dan pelabur dalam sistem solar yang dipasang manakala pelanggan kami dapat menikmati penjimatan elektrik secara langsung tanpa membuat pelaburan modal," katanya. - DagangNews.com