GST : Masanya belum tiba - Pakar | DagangNews Skip to main content

GST : Masanya belum tiba - Pakar

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 11 Dis. - Polemik mengenai pelaksanaan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST) kembali dibangkitkan semula setelah rejim cukai itu digantikan dengan cukai jualan dan perkhidmatan (SST), kira-kira 2 tahun lalu. 

 

Namun, sebarang langkah untuk melaksanakan semula GST perlu mengambil masa sekurang-kurangnya 2 hingga 3 tahun lagi, jelas pakar cukai, Dr. Veerinderjeet Singh. 

 

Beliau yang juga Pengerusi Tricor Malaysia berkata, dalam tempoh itu, kerajaan perlu menambah baik dan memperluaskannya secara berperingkat kepada pelbagai bentuk barangan dan perkhidmatan. 

 

"Laksanakannya dengan baik dan kira-kira 2 atau 3 tahun, boleh ubah SST kepada GST, pada ketika ekonomi sudah kembali pulih," katanya kepada DagangNews.com. 

 

Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd Shahar Abdullah semalam berkata, kerajaan sedang mengkaji kesesuaian untuk melaksanakan semula GST atau sebarang model cukai kepenggunaan lain dengan mengambil kira semua aspek.

 

Malah, aspek kelemahan SST sedia ada serta sistem GST yang dilaksanakan pada 2015 turut diteliti. 

Dr. Veerinderjeet Singh
Dr. Veerinderjeet Singh

 

Veerinderjeet berpendapat, negara memerlukan satu struktur cukai yang terbaik dan ia perlu merangkumi skop cukai yang luas dengan liputan secara komprehensif bagi barangan dan perkhidmatan. 

 

"Bagi saya, kadar yang paling munasabah jika GST dilaksanakan semula, ialah minimum 5%. 

 

"Selain itu, terdapat senarai pendek pengecualian barangan dan perkhidmatan dan kadar sifar hanya dikenakan untuk eksport sahaja," katanya. 

 

Untuk memastikan penguatkuasan GST yang lebih efisien, beliau berkata, Lembaga Hasil Dalam Negeri harus memikul tanggungjawab tersebut berbanding sebelum ini di bawah kuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia. 

 

Dalam masa sama, katanya, bayaran balik juga perlu dibuat dalam masa 14 hari selepas penyata cukai dibuat dan audit boleh dilakukan kemudian manakala pampasan harus dibayar sekiranya terlewat membuat bayaran balik cukai.  

 

"Penggunaan teknologi juga harus digunakan oleh pembayar cukai supaya data cukai dapat didigitalkan dan mempunyai satu set garis panduan yang jelas," katanya. 

 

Selepas memenangi pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) pada Mei 2018, kerajaan Pakatan Harapan (PH) menghapuskan GST seperti tertakluk di bawah manifestonya dan Kementerian Kewangan menurunkan kadar GST kepada 0% mulai 1 Jun 2018. 

 

Kerajaan Barisan Nasional (BN) memperkenalkan GST pada kadar 6% mulai 1 April 2015 dan kira-kira RM44 bilion dikutip daripada sistem percukaian itu.

 

SST berkuatkuasa sejak 1 Sept 2018 pada kadar 6% cukai perkhidmatan dan antara 5 ke 10% bagi cukai jualan.

 

Bagaimanapun, cukai yang dimansuhkan itu kemudiannya memberi kesan kepada hasil negara. 

 

Secara dasarnya, Malaysia tidak boleh selama-lamanya bergantung kepada hasil minyak terutama dalam keadaan tidak menentu seperti yang berlaku ketika ini apabila pandemik COVID-19 turut menjejaskan harga komoditi itu di peringkat global. 

Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid
Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid

 

Sementara itu, Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, struktur cukai harus berpaksikan dan bermatlamat jangka masa panjang dan bukannya sesuatu yang berubah-ubah dalam tempoh jangka masa pendek. 

 

"Seperti yang berlaku di negara kita, ia memberi isyarat yang salah, bukan sahaja kepada pelabur luar, malah menimbulkan kegusaran dan kegelisahan kepada rakyat, pengeluar, pemborong dan peruncit tempatan. 

 

"Malah, turut mengakibatkan kos yang agak tinggi setiap kali mereka ingin melakukan peralihan sama ada dari segi peralatan yang berbentuk perkakasan mahupun perisian, selain menjalani latihan pemahaman dan penguasaan cukai baharu," katanya.

 

Tindakan sedemikian, jelasnya, akan mengusir atau menjauhkan pelabur luar sedia ada atau bakal pelabur yang ingin masuk, di mana ia dianggap tidak stabil atau kecelaruan politik yang boleh menggugat perniagaan mereka dan meletakkan risiko yang amat tinggi ke atas pelaburan. 

 

"Kadang-kadang timbul persoalan, adakah perubahan struktur cukai lebih bersifat populis dan meraih sokongan, atau benar-benar memikirkan masa depan negara atau rakyat?," katanya.

 

Menurut Baharom, dari segi kelangsungan, di atas kertas GST atau sebarang bentuk cukai kepenggunaan, adalah terbaik, namun kadarnya harus tidak membebankan bagi mengelakkan berlakunya inflasi. 

 

"Kadar yang sesuai jika dilaksanakan semula GST ialah 3%. Kerajaan juga perlu memastikan cukai ini tidak dikenakan ke atas barangan atau perkhidmatan ruji untuk golongan B40, atau rakyat yang kurang berkemampuan," katanya. 

 

Beliau juga menegaskan, pelaksanaan cukai ini harus dilaksanakan secara berintegriti dengan tadbir urus yang baik dan lebih telus. - DagangNews.com