Guan Chong dijangka terkesan dengan pemulihan industri pelancongan yang perlahan | DagangNews Skip to main content

Guan Chong dijangka terkesan dengan pemulihan industri pelancongan yang perlahan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Feb - Pemulihan industri pelancongan yang lebih perlahan daripada jangkaan selain harga koko yang tidak stabil di pasaran dijangka memberi kesan kepada pendapatan Guan Chong Berhad bagi FY22.

 

Firma penyelidikan AmInvestment Bank Research (AmInvest) berkata, kos logistik yang kekal tinggi juga akan menyebabkan penurunan pendapatan kumpulan. 

 

Bagaimanapun katanya, aktiviti pelancongan di peringkat global semakin berkembang dengan pemberian vaksin secara meluas kepada penduduk dunia selain pembukaan sempadan negara selain peraturan yang lebih longgar kepada mereka yang sudah divaksin.

 

"Kami kekal optimis dengan sasaran jangka sederhana dan panjang Guan Chong dengan perkembangan perniagaan mereka bersandarkan kepada peningkatan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA)

 

"Selain itu, pemulihan penurunan kemerorotan harga jualan purata (ASP) koko yang disokong oleh permintaan untuk coklat kelas atasan dan perancangan pengembangan perniagaan di luar negara juga akan membantu kumpulan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Guan Chong berjaya mencatatkan keuntungan bersih RM51.2 juta bagi 4Q21, menjadikan pendapatan tahun kewangan penuh 2021 kepada RM156 juta.

 

coklat

 

Prestasi itu didorong oleh peningkatan jualan yang tinggi pada suku berkenaan selain permintaan terhadap produk koko meningkat selepas larangan pergerakan ditarik balik selain pembukaan sempadan antarabangsa.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' untuk saham-saham Guan Chong pada harga sasaran RM3.40 sesaham.

 

"Kami juga tidak membuat sebarang perubahan terhadap unjuran pendapatan kerana melihat cadangan pengembangan perniagaan Guan Chong ke luar negara mampu untuk memasuki pasaran Eropah," katanya. - DagangNews.com