KUALA LUMPUR 11 Mac - Boustead Petroleum Marketing Sdn. Bhd. (BHPetrol) yakin ketibaan vaksin COVID-19 di Malaysia akan membantu memulihkan aktiviti ekonomi dan perjalanan, justeru meningkatkan penggunaan petrol di seluruh negara.
Ini mendorong BHPetrol menjalin kerjasama dengan ShopeePay selaras dengan objektif menuju ke arah pendigitalan di semua stesen servisnya di seluruh negara.
Pengurus Besar Bahagian Pemasaran BHPetrol Lawrence Chuah berkata, pihaknya sentiasa berusaha memberikan yang terbaik kepada pelanggan dengan menawarkan kualiti petrol terbaik, diskaun menarik dan kemudahan secukupnya.
Katanya, kerjasama itu juga membolehkan lebih banyak promosi menarik ditawarkan kepada para pelanggan.
"Menerima ShopeePay sebagai mod pembayaran tambahan menawarkan lebih banyak pilihan kepada pengguna kami.
"Kami akan terus melangkah lebih jauh untuk membantu melayani dan memberi penghargaan kepada pelanggan dengan lebih baik," katanya dalam kenyataan baru-baru ini.
Sebagai permulaan bagi kerjasama ini, pengguna ShopeePay akan mendapat pulangan tunai sebanyak RM4 dengan pembelanjaan minimum RM40 di mana-mana stesen BHPetrol yang menerima pembayaran e-dompet di negara ini.
Setiap pelanggan boleh menerima pulangan tunai sebanyak 3 kali sepanjang tempoh kempen mulai 1 Mac hingga 30 April 2021.
Stesen BHPetrol disokong oleh GHL Systems Bhd. yang menyediakan terminal-terminal di stesen minyak untuk menerima ShopeePay di seluruh negara.
Sementara itu, Ketua ShopeePay, Alain Yee berkata, kerjasama ini membolehkan pengguna ShopeePay menikmati pulangan tunai yang menarik dan memberi lebih penjimatan kepada pelanggan BHPetrol. - DagangNews.com