Guru interim Bahasa Inggeris perlu penuhi syarat CEFR C1, lulus temuduga untuk lantikan tetap - KPM | DagangNews Skip to main content

Guru interim Bahasa Inggeris perlu penuhi syarat CEFR C1, lulus temuduga untuk lantikan tetap - KPM

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 9 Mac - Guru interim Bahasa Inggeris (BI) yang dilantik pada 22 April 2019 dan akan tamat tempoh lantikan pada 21 April 2022 akan dilantik tetap sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) Gred DG41 oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan jika memenuhi syarat dan lulus temuduga.

 

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, lantikan terbabit perlu memenuhi syarat dan tahap Common European Framework of Reference for Languages (CEFR) C1.

 

KPM berkata, mulai tahun 2022, urusan pengambilan PPP baharu bagi opsyen BI perlu mengambil kira penguasaan BI calon pada tahap proficient, iaitu tahap CEFR C1.

 

"Bagi guru interim BI yang tidak memenuhi syarat CEFR C1, mereka akan ditemuduga untuk tujuan lantikan tetap sebagai PPP Gred DG41 oleh SPP dalam masa terdekat.

 

"Bagaimanapun, mereka perlu mencapai tahap CEFR C1 dalam tempoh percubaan, iaitu 1 hingga 3 tahun bagi tujuan pengesahan dalam perkhidmatan," katanya.

 

KPM berkata, pihaknya sentiasa berusaha untuk meningkatkan kompetensi guru BI bagi memberi impak kepada pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah.

 

"Ini secara langsung akan meningkatkan tahap penguasaan murid dalam BI seperti yang diaspirasikan berdasarkan piawaian antarabangsa CEFR," katanya.

 

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 menetapkan bahawa setiap murid yang melalui sistem pendidikan di Malaysia perlu mahir dan fasih berbahasa Melayu serta mahir berbahasa Inggeris pada tahap 'independent proficiency' seperti yang ditakrifkan oleh CEFR. - DagangNews.com