Guru, pelajar SK Assumption akan disuraikan - KPM | DagangNews Skip to main content

Guru, pelajar SK Assumption akan disuraikan - KPM

Foto: The Vibes
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 24 Jan - Pelajar dan guru Sekolah Kebangsaan (SK) Assumption, Butterworth, Pulau Pinang bakal disuraikan ke sekolah berhampiran berikutan pengosongan tapak sekolah terbabit pada bulan depan.

 

Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan, SK Assumption merupakan sekolah bantuan kerajaan yang beroperasi di bangunan dan tapak sekolah milik Syarikat Sri Avenue Sdn. Bhd.

 

Jelasnya, pada 3 November 2021, syarikat tersebut menerima tawaran pembelian bangunan dan tapak sekolah daripada pihak ketiga dan pihak syarikat memohon supaya KPM mengosongkan bangunan dan tapak sekolah terbabit dengan secepat mungkin.

 

"Mengambil kira sesi persekolahan yang sedang berlangsung, KPM telah memohon penangguhan pengosongan bangunan dan tapak sekolah sehingga tamat Sesi Persekolahan Penggal 3 2021/2022 pada Mac 2022.

 

"Pada masa sama, ia akan membantu memudah cara urusan kemasukan murid ke sekolah baharu pilihan ibu bapa bagi Kalendar Akademik Sesi 2022/2023," katanya.

 

 

kpm
Datuk Dr. Radzi Jidin

 

 

Kenyataan itu dikongsikan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin menerusi Facebooknya, menyatakan KPM membuat ketetapan untuk menyuraikan pelajar dan guru ke sekolah lain yang berhampiran.

 

"Ketetapan diambil berdasarkan justifikasi termasuk trend enrolmen murid yang menurun daripada setahun ke setahun. Pada masa ini, sekolah itu beroperasi dengan enrolmen murid seramai 53 orang.

 

"Terdapat sekolah berdekatan yang dapat menampung murid dari SK Assumption dalam jarak antara 0.35 kilometer (km) hingga 5.8 km," katanya.

 

Sekolah berkenaan adalah SK Kuala Perai, Butterworth; SK Sungai Nyior; SK St Mark, Butterworth; SK Khir Johari, Perai dan SK St Mark, Perai yang mempunyai kapasiti optimum antara 275 hingga 617.

 

Menurut kenyataan itu, penyuraian itu dapat meningkatkan kecekapan penggunaan sumber melalui agihan semula 15 guru dan dua Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) ke sekolah lain. - DagangNews.com