Had laju di Jalan Persekutuan turun 10km/j mulai 18 hingga 27 Januari 2023 sempena Tahun Baru Cina | DagangNews Skip to main content

Had laju di Jalan Persekutuan turun 10km/j mulai 18 hingga 27 Januari 2023 sempena Tahun Baru Cina

Gambar hiasan

DENGKIL 17 Jan - Had laju di Jalan Persekutuan di seluruh negara akan dikurangkan sebanyak 10 kilometer sejam (km/j) berkuat kuasa pada 18 hingga 27 Januari ini sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

 

Ia menjadikan had laju Jalan Persekutuan diturunkan daripada 90 km/j kepada 80 km/j sepanjang tempoh berkenaan.

 

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pewartaan pengurangan had laju sementara itu antara langkah keselamatan dan pemantauan yang diambil kerajaan bagi meningkatkan keselamatan dan mengurangkan risiko kemalangan jalan raya yang kerap kali berlaku di musim perayaan.

 

“Justeru itu, Kementerian Kerja Raya turut bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil langkah-langkah awal mengadakan program pemantauan jalan raya secara berterusan,” katanya di sini pada Selasa.

 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Ops Bersepadu sempena perayaan Tahun Baharu Cina Peringkat Kebangsaan di kawasan Rehat & Rawat Dengkil (Arah Utara), lapor Astro AWANI.

 

Hadir sama Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

 

Ops Bersepadu dan Kempen Keselamatan Jalan Raya Peringkat Kebangsaan bermula dari 18 hingga 28 Januari ini dengan melibatkan pelbagai agensi di bawah Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Kementerian Pengangkutan (MOT).

 

 

nanta
                                        Datuk Seri Alexander Nanta Linggi

 

 

Ia termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan Raya (JPJ), Jabatan Kerja Raja (JKR), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan PLUS Malaysia Berhad (PLUS).

 

Dalam pada itu Nanta berkata, Kementerian Kerja Raya melalui JKR akan sentiasa memantau lokasi-lokasi ‘blackspots’ yang dikenal pasti bagi memastikan keselesaan dan keselamatan pengguna jalan raya.

 

Setakat ini, jelas beliau sebanyak 76 lokasi kerap berlaku kemalangan dikenal pasti sepanjang tahun ini.

 

Nanta menambah, sebanyak 53 lokasi ‘blackspots’ melibatkan jalan-jalan Persekutuan di seluruh negara juga telah dibaiki pada tahun lalu, melibatkan kos berjumlah RM17.2 juta.

 

“Pembaikan yang dilaksanakan ini adalah bersifat penyelesaian kos rendah dan berimpak tinggi.

 

“Manakala, bagi rekod pemasangan lampu jalan di kawasan berlaku kemalangan atau berisiko kemalangan akibat jalan gelap yang telah dilaksanakan di jalan-jalan Persekutuan seluruh negara pada tahun 2022, sebanyak 40 lokasi telah dilaksanakan pemasangan lampu jalan dengan kos berjumlah RM4.7 juta.

 

“Program ini akan diteruskan pelaksanaannya pada tahun 2023 supaya aspek keselamatan jalan raya dapat dipertingkatkan,” katanya. - DagangNews.com