KUALA TERENGGANU 2 Jun - Hadiah cabutan bertuah dengan nilai keseluruhan hampir RM50,000 menanti pengunjung sepanjang program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Terengganu yang berlangsung di Kompleks Sukan Negeri di Kuala Nerus bermula hari ini hingga Sabtu.
Unit Korporat Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu dalam kenyataan memaklumkan, kaedah cabutan bertuah adalah secara digital berdasarkan maklumat pendaftaran pengunjung, dan ia dibuat di pentas dengan senarai nama pemenang akan dipaparkan di skrin.
Bagi melayakkan orang ramai menyertai proses cabutan bertuah itu, mereka perlu membuat pendaftaran kehadiran di pautan https://bit.ly/JAKMTEGGANU dan pilih bahagian 'pengunjung' untuk mengesahkan kehadiran.
Menurut kenyataan itu, 110 hadiah cabutan bertuah termasuk lima hadiah utama disediakan, dengan tiga sesi cabutan akan diadakan setiap hari iaitu pada 11 pagi, 2 petang dan 4 petang.
Hadiah utama yang ditawarkan ialah sebuah motosikal Honda Dash 125, peti sejuk, televisyen 60 inci, komputer riba dan basikal lipat, selain pelbagai hadiah harian antaranya televisyen 45 inci, ketuhar dan pelbagai barangan elektronik lain, menurut Bernama.
Sementara itu pengunjung digalakkan melakukan ujian saringan kendiri COVID-19 sebelum berkunjung ke tapak program berkenaan, dan mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) terkini bagi Fasa Peralihan Ke Endemik. - DagangNews.com