IPOH 17 Ogos - Hadiah keseluruhan sebanyak RM25,000 ditawarkan pada pertandingan sempena Bulan Kebangsaan anjuran kerajaan negeri Perak dengan kerjasama Jabatan Penerangan Negeri (JPN) Perak.
Ia melibatkan Pertandingan Keceriaan Bulan Kebangsaan, Pertandingan Video Tiktok Merdeka, Pertandingan Mobile Instagram Photo dan Pertandingan Silang Kata Online.
Pengarah Jabatan Penerangan negeri Perak, Mohd Rizal Hashim berkata, objektif pertandingan tersebut untuk meningkatkan semangat patriotik yang tinggi melalui kreativiti, pengetahuan dan menzahirkan rasa cinta rakyat kepada negara.
Menurut beliau, kesemua pertandingan ini dilaksanakan khusus untuk rakyat Perak dan mereka yang bermastautin di negeri ini.
"Pertandingan Keceriaan Bulan Kebangsaan dibahagikan mengikut kategori sekolah menengah, sekolah rendah dan bangunan kerajaan/swasta.
"Johan bagi pertandingan ini bakal membawa pulang RM3,000 manakala naib johan RM2,000 dan ketiga RM1,000," ujarnya.
Ia bukan sekadar pertandingan hiasan tetapi matlamat utama adalah untuk meningkatkan semangat patriotik melalui kreativiti dan inovasi pengibaran Jalur Gemilang.
Jelas Mohd Rizal, untuk Pertandingan Mobile Instagram Photo pula, para peserta boleh merakam momen-momen Bulan Kebangsaan dengan menterjemah semangat nasionalisme, keindahan alam dan warisan budaya.
"Bagi Pertandingan Video Tiktok Merdeka, peserta menghasilkan video kreatif 30 saat untuk mengekspresikan semangat kemerdekaan.
"Hadiah wang tunai RM700 untuk pertama manakala tempat kedua dan ketiga menerima RM500 dan RM300 serta 5 hadiah saguhati RM150 bagi Pertandingan Mobile Instagram Photo dan 9 saguhati untuk Video Tiktok Merdeka.
"Pertandingan Silang Kata Online pula dilaksanakan secara atas talian menampilkan soalan-soalan berbentuk kemerdekaan, sejarah negara dan negeri Perak.
"Para pemenang akan dipilih berdasarkan jawapan yang tepat serta slogan yang menarik," ujarnya.
Hadiah bagi tempat pertama berupa wang tunai RM500, tempat kedua (RM300), tempat ketiga (RM200) dan 10 hadiah saguhati RM100.
Justeru, pihak Jabatan Penerangan Negeri Perak menjemput kesemua rakyat negeri Perak untuk mengikuti dan menyertai pertandingan ini.
Maklumat lanjut dan syarat-syarat penyertaan pertandingan ini boleh didapati di laman sosial rasmi JPN Perak atau Pejabat Setiausaha Kerajaan negeri Perak. - DagangNews.com