DI mana-mana sahaja ketika ini, topik berkaitan Hallyu tidak asing dalam perbualan harian sama ada anak kecil, anak muda, malah golongan dewasa.
Hallyu, bukan sahaja berkenaan K-pop, tetapi lebih daripada itu. Daripada drama, artis-artis, lokasi menarik di Korea Selatan, makanan, sehinggalah kecantikan, ini semuanya Hallyu.
Dasar pandang ke Timur yang telah diperkenalkan sejak empat dekad yang lalu nyata telah banyak membuka mata rakyat Malaysia untuk lebih mengenali dan memahami budaya Korea Selatan berbanding hanya melihat ke Barat.
Mungkin kerana adanya persamaan latar belakang negara Asia yang membuatkan kita sikit demi sedikit membenarkan budaya mereka mewarnai kehidupan kita.
Melihat dari segi kandungan media yang mereka hasilkan sama ada muzik, filem, atau pun rancangan televisyen, trend yang mereka tetapkan pada kebiasaannya adalah luar dari jangkauan kita.
Keupayaan mereka untuk menetapkan sesuatu trend dengan lebih awal telah menjadi salah satu faktor mengapa kita mudah tertarik dengan kandungan media yang mereka sediakan.
Lihat sahaja penampilan artis mereka sebagai contoh. Penggunaan aksesori-aksesori yang comel dan berat dalam setiap persembahan, juga muzik video menjadikan penampilan dan persembahan mereka lebih menyerlah dan berani.
Lihat pula di dalam drama-drama mereka, pemaparan budaya secara langsung dan jelas seperti makanan telah berjaya mempopularkan kepelbagaian kulinari Korea Selatan di tanah air kita.
Kimchi yang menjadi makanan sampingan wajib masyarakat Korea, kini sudah boleh didapati dengan mudah dipasaran Malaysia. Bukan sahaja buatan Korea, malah ada juga buatan Malaysia dan halal pula.
Hasilnya, ini telah membuatkan masyarakat Korea juga sudah celik mata mengenai makanan halal dan kepentingannya kepada masyarakat bergama Islam.
Jika pergi ke Korea, kini sudah mudah untuk para pengunjung beragama Islam mencari makanan halal berbanding sebelum ini.
Selain daripada itu, pengisian atau topik yang berbeza di dalam setiap drama dan filem juga dibuat dengan kajian yang teliti. Bukan sekadar tangkap muat, tetapi berhasil memberikan pengetahuan tambahan kepada para penonton.
Mengetengahkan isu kesihatan mental contohnya, banyak drama mereka yang membincangkan isu ini seperti drama “It’s Ok Not To Be Okay”.
Kita juga dapat lihat bagaimana setiap watak sampingan kelihatan sama menyerlah, bukan sekadar tempelan sebagaimana yang kita dapat tonton di dalam drama popular “Glory”.
Belum lagi dengan drama-drama pra-sejarah, penggunaan barangan dari pemakaian, bahasa, dan lenggok badan, semuanya dipaparkan dengan cantik dan teliti, membuatkan kita sama-sama sedikit sebanyak dapat belajar mengenai sejarah mereka.
Namun, Malaysia juga tidak kurang hebatnya.
Disebabkan produk-produk dari Korea Selatan inilah telah banyak membuka mata rakyat kita untuk turut sama melihat hasil karya buatan Malaysia.
Sebenarnya kita juga sudah lama menghasilkan karya-karya yang bermutu, cumanya tidak diberi peluang sama rata oleh para penonton.
Mungkin kerana sifat kita yang malu-malu, maka promosi kita tidak seagresif promosi produk-produk Korea Selatan.
Tetapi itu semua sudah berubah sedikit demi sedikit. Dengan penggunaan media sosial sebagai alat promosi yang aktif, kini produk buatan Malaysia juga sudah mula dikenali dalam kalangan rakyat Korea Selatan.
Kita kata “Apa Khabar?”, mereka kata “Annyeong!”. - DagangNews.com