Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 3 Dis. - Data Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) yang dikeluarkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menunjukkan seramai 99,696 pekerja telah diberhentikan sejak Januari hingga 27 November lalu.
Menurut Timbalan Menteri Sumber Manusia, Awang Hashim, daripada jumlah itu, 13,109 pekerja berada dalam kategori pengurus manakala 26,079 adalah kategori profesional diikuti 19,095 bagi kategori juruteknik dan profesional dengan kesemuanya berpendapatan RM4,000 ke atas.
Berdasarkan kepada data Perkeso juga, katanya, dianggarkan 75% daripada jumlah keseluruhan pekerja adalah daripada golongan B40 yang berpendapatan RM4,000 ke bawah.
Oleh itu, jelas beliau, Program Subsidi Upah yang diperkenalkan oleh kerajaan adalah disasarkan untuk membantu pekerja yang paling terkesan dalam golongan B40.
"Bagaimanapun, bagi golongan pengurusan yang diberhentikan kerja, mereka masih diberi perlindungan di bawah Akta SIP (Akta 800) tertakluk had gaji maksimum RM4,000.
"Ini bermakna pekerja-pekerja yang bergaji melebihi RM4,000 termasuk golongan pengurusan akan mendapat faedah seperti Elaun Mencari Pekerjaan (EMP)," katanya dalam sesi jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab isu yang dibangkitkan M. Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat) yang mempersoalkan mengapa Program Subsidi Upah gagal menyenaraikan pekerja golongan pengurusan sebagai penerima subsidi upah sedangkan statistik menunjukkan secara jelasnya bahawa 59% kadar pengangguran membabitkan kalangan pekerja yang berkemahiran tinggi.
Dalam pada itu, Awang berkata, ada sesetengah majikan dalam sektor tertentu terpaksa melaksanakan pemberhentian pekerjaan disebabkan faktor-faktor luar kawalan yang tidak dapat dielakkan.
Jelas beliau, terdapat banyak faktor yang menyebabkan pekerja diberhentikan terutamanya penutupan perniagaan, pengecilan tenaga kerja serta menawarkan skim pemisahan sukarela (VSS) dan skim pemisahan mandatori (MSS).
Selain itu, katanya, syarikat juga mengalami masalah kewangan kritikal, diikuti dengan penutupan separa, langkah pengambilalihan syarikat dan penempatan semula syarikat.
"Faktor-faktor di atas adalah disebabkan oleh tekanan yang dialami oleh semua industri secara global disebabkan pandemik COVID-19 yang di luar kawalan dan ini menjawab persoalan DAP-Ipoh Barat berkenaan mengapa seramai 81,217 pekerja telah kehilangan pekerjaan walaupun Program Subsidi Upah (PSU) dan Program Pengekalan Pekerjaan (ERP) telah dilaksanakan oleh kerajaan," jelasnya.
Menurut beliau, kerajaan juga sedar masih ramai lagi pekerja terkesan terutama sektor pelancongan.
Katanya, kerajaan melalui Belanjawan 2021 akan melanjutkan pelaksanaan Program Subsidi Upah (PSU) selama tiga bulan lagi dengan lebih bersasar, khususnya bagi sektor pelancongan termasuk sektor peruncitan.
"Ini melibatkan kadar RM600 sebulan bagi pekerja bergaji RM4,000 dan ke bawah," katanya. - DagangNews.com