Hampir RM500 juta ekuiti dijual pelabur asing minggu lalu | DagangNews Skip to main content

Hampir RM500 juta ekuiti dijual pelabur asing minggu lalu

 

 

KUALA LUMPUR 26 April - Jualan ekuiti Malaysia bagi minggu berakhir 23 April terus meningkat kepada RM490.3 juta, menurut laporan aliran dana mingguan MIDF Research. 

 

Bagi minggu sebelumnya, sebanyak RM235.26 juta ekuiti dijual pelabur asing. 

 

"Apabila pasaran dibuka semula pada Isnin (19 April), pelabur asing menjual RM142.17 juta ekuiti tempatan manakala pelabur runcit dan institusi masing-masing membeli sebanyak RM48.77 juta dan RM93.4 juta," katanya.

 

Hampir setiap hari pelabur asing menjual ekuiti kecuali pada Selasa dengan aliran keluar tertinggi direkodkan pada Rabu sebanyak RM258.17 juta manakala paling rendah pada Khamis, RM51.19 juta. 

 

Aliran masuk asing hanya direkodkan berjumlah RM27.5 juta.

 

Bagi pelabur runcit pula, mereka membeli ekuiti setiap hari kecuali Khamis dan Jumaat. 

 

"Pembelian terbesar pada Rabu sebanyak RM125.58 juta manakala paling rendah pada Selasa, RM9.66 juta. 

 

"Secara terkumpul, bagi minggu itu, pelabur runcit membeli RM171.68 juta ekuiti di Bursa Malaysia," jelas firma itu. 

 

Untuk pelabur institusi pula, aliran masuk terkumpul pula berjumlah RM318.63 juta dengan pembelian terbesar pada Rabu sebanyak RM132.59 juta dan paling rendah juga pada hari yang sama, RM53.04 juta. 

 

Ia hanya merekodkan jualan bersih pada Selasa sebanyak RM37.16 juta. 

 

Menurut MIDF Research, sejak awal tahun ini, pelabur runcit masih merupakan satu-satunya pembeli bersih bagi pasaran tempatan berjumlah RM5.68 bilion. 

 

"Pelabur institusi dan asing pula muncul penjual bersih dengan masing-masing berjumlah RM3.18 bilion dan RM2.49 bilion," katanya.

 

Bagi minggu itu juga, penyertaan pelabur runcit, institusi dan asing pula masing-masing mencatatkan peningkatan 21.08%, 21.08% dan -0.27% dari segi nilai purata dagangan harian (ADTV). - DagangNews.com