Hampir sejuta PKS terima RM1,000 mulai Khamis ini | DagangNews Skip to main content

Hampir sejuta PKS terima RM1,000 mulai Khamis ini

 


 

KUALA LUMPUR 8 Jun - Hampir sejuta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan mikro boleh menarik nafas lega apabila bayaran Geran Khas Prihatin 3.0 (GKP 3.0) sebanyak RM1,000 disalurkan mulai Khamis ini.

 

Ini serba sedikit dapat membantu mengurangkan beban mereka sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) penuh bermula sejak 1 Jun lalu.

 

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pembayaran itu melibatkan penerima sedia ada GKP 1.0 dan GKP 2.0 serta PKS mikro yang telah pun diluluskan permohonan dalam GKP 3.0.

 

Katanya, pembayaran secara berperingkat itu melibatkan implikasi kewangan sebanyak hampir RM1 bilion.

 

"Bayaran tambahan sebanyak RM500, melibatkan peruntukan hampir RM500 juta pula akan dibayar pada Julai 2021 menjadikan jumlah keseluruhan di bawah GKP 3.0 sebanyak RM1.5 bilion," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

 

Pemerkasa Plus

 

 

Pembayaran akan dikreditkan terus ke akaun bank yang didaftarkan dalam sistem GKP dan semakan
status kelulusan boleh dibuat mulai 8 Jun 2021 di pautan https://gkp.hasil.gov.my.

 

Di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) yang diumumkan 17 Mac lalu, kerajaan telah memutuskan pemberian GKP 3.0 sebanyak RM1,000 kepada lebih 1 juta peniaga mikro untuk memastikan kelangsungan perniagaan mereka, khususnya dalam menguruskan aliran tunai masing-masing. 

 

Pada 31 Mei 2021, melalui program Pemerkasa Plus, kerajaan telah mengumumkan komitmen yang sama sepanjang tempoh PKP 3.0, di mana jumlah tambahan sebanyak RM500 akan dibuat, menaikkan jumlah bayaran kepada RM1,500 bagi setiap PKS mikro. 

 

Ini bermakna, jumlah bayaran GKP 3.0 adalah sebanyak RM1.5 bilion.

 

Menurut Tengku Zafrul, secara keseluruhan, sejumlah RM5.08 bilion telah dan akan disalurkan kepada hampir 1 juta PKS mikro di bawah GKP sejak COVID-19 melanda negara. 

 

"Kerajaan berharap agar bantuan langsung yang disalurkan kepada PKS mikro ini akan meringankan beban mereka, terutamanya mereka yang amat terkesan akibat pelaksanaan PKP 3.0 pada kali ini," katanya. - DagangNews.com