Handal Energy jangka permintaan terhadap perniagaan berkaitan minyak dan gas terus meningkat | DagangNews Skip to main content

Handal Energy jangka permintaan terhadap perniagaan berkaitan minyak dan gas terus meningkat

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Mei - Handal Energy Berhad menjangkakan permintaan untuk perniagaan berkaitan minyak dan gas akan terus meningkat pada masa hadapan selaras dengan pemulihan ekonomi global.

 

Pengerusi Handal Energy, Tengku Baderul Zaman Sultan Mahmud berkata, menerusi penyepaduan aktiviti minyak dan gas kumpulan, pihaknya akan memanfaatkan pertumbuhan itu dan menguasai bahagian pasaran yang lebih besar.

 

Beliau berkata, perkara itu menunjukkan komitmen mereka untuk menambah baik operasi selain menyediakan perkhidmatan berkualiti tinggi kepada pelanggan tetapi akan terus komited untuk mengejar peluang pertumbuhan domestik.

 

"Walaupun pengembangan kami ke dalam industri penyelesaian infrastruktur rangkaian telekomunikasi dan industri perlombongan pasir merupakan langkah penting ke arah mempelbagaikan aliran hasi, kami menyedari bahawa masih terdapat banyak peluang yang belum diterokai yang sejajar dengan kecekapan teras dan hala tuju strategik kumpulan," katanya dalam Laporan Tahunannya di Bursa Malaysia.

 

Tengku Baderul berkata, melangkah ke hadapan, kumpulan akan terus aktif mencari perniagaan baharu yang menguntungkan dan boleh menyumbang kepada pertumbuhan mereka.

 

Beliau berkata, pihaknya akan meneroka pasaran baharu, memanfaatkan teknologi dan trend baru muncul serta memanfaatkan kekuatan mereka untuk menyampaikan nilai kepada pemegang kepentingan kumpulan.

 

"Kami yakin dengan rekod prestasi kami yang kukuh dan pasukan pengurusan yang berpengalaman, kami berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan peluang yang ada dengan landskap perniagaan yang berkembang pesat.

 

"Lembaga pengarah kekal optimis dengan berhati-hati terhadap prospek kumpulan," katanya. - DagangNews.com