Hanya kit ujian air liur dibenarkan di semua sekolah di bawah KPM | DagangNews Skip to main content

Hanya kit ujian air liur dibenarkan di semua sekolah di bawah KPM

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 8 Dis - Pelaksanaan ujian saringan COVID-19 kepada pelajar di semua sekolah bawah Kementerian Pendidikan (KPM) hanya dibenarkan menggunakan kit ujian air liur sahaja.

 

Kementerian itu dalam satu kenyataan berkata, penggunaan kit ujian secara calitan hidung adalah tidak dibenarkan dan tidak selaras dengan arahan KPM melalui surat bertarikh 28 November lalu.

 

"Pengurusan ujian kendiri COVID-19 bagi murid sekolah KPM dilaksanakan mengikut ketetapan dalam Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0, selaras dengan Strategi Pengujian COVID-19 Kebangsaa. 

 

"KPM pada 28 November mengeluarkan surat pemakluman berkenaan pelaksanaan ujian saringan COVID-19 bagi murid sekolah rendah yang dibuat secara penggiliran, sekurang-kurangnya 10% murid.

 

"Berdasarkan surat siaran ini, pelaksanaan ujian kendiri hanya membabitkan penggunaan kit ujian air liur yang dibekalkan oleh KPM dan pelaksanaan ujian kendiri itu dilakukan sendiri oleh murid dengan pemantauan guru," katanya.

 

Kenyataan itu merujuk kepada gambar yang tular dalam media sosial sebelum ini bertajuk "Di sebuah sekolah guru-guru menjalani latihan amali dengan swab pelajar".

 

Berhubung gambar yang tular, KPM berkata, siasatan mendapati gambar itu membabitkan ujian saringan COVID-19 yang dilaksanakan di sebuah sekolah di Pahang.

 

KPM berkata, dalam ujian saringan itu, seramai 16 murid dipilih secara rawak untuk menjalani ujian saringan COVID-19 menggunakan kit ujian air liur.

 

Bagaimanapun, katanya, demonstrasi calitan hidung turut dilaksanakan membabitkan empat guru dan empat murid dengan dibimbing oleh dua Jururawat Masyarakat. - DagangNews.com