Hanya libatkan bekalan 100MW ke Singapura, kesan terhadap YTL Power hanya minimum | DagangNews Skip to main content

Hanya libatkan bekalan 100MW ke Singapura, kesan terhadap YTL Power hanya minimum

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 26 Okt. - AmInvestment Bank Research percaya pendapatan yang diraih menerusi jualan bekalan elektrik dari Malaysia ke Singapura hanya memberi kesan minimum kepada YTL Power International Bhd. memandangkan ia hanya melibatkan 100MW. 

 

Unit YTL Power di Singapura, YTL PowerSeraya Pte Ltd (YTLPS) semalam dilaporkan dilantik untuk mengimport 100MW elektrik dari Semenanjung Malaysia dengan tempoh percubaan selama 2 tahun yang  sepatutnya bermula awal 2022.

 

Ini berikutan permintaan untuk proses cadangan (RFP) yang dimulakan pada Mac 2021, menurut Pihak Berkuasa Pasaran Tenaga (EMA) Singapura, pada Isnin.

 

Pemilihan YTLPS ini dibuat kerana cadangannya adalah "yang terbaik dapat memenuhi keperluan EMA untuk tempoh percubaan mengimport elektrik melalui penyambung sedia ada."

 

Secara dasarnya, Singapura merancang untuk mengimport sehingga 4GW tenaga elektrik rendah karbon menjelang 2035 atau kira-kira 30% daripada jumlah bekalan. 

 

Dalam nota kajian, penganalisis AmInvestment, Gan Huey Ling yakin dalam tempoh jangka masa panjang, ia akan meletakkan YTL Power dalam kedudukan yang baik untuk membida projek daripada kerajaan Singapura pada masa akan datang.

 

Pada September lalu, katanya, YTL Power membeli 664 hektar ladang sawit di Kulai, Johor daripada Boustead Plantations Bhd. untuk membangunkan kawasan tersebut kepada loji janakuasa berskala besar dengan kapasiti penjanaan sehingga 500MW.

 

"Kami berpendapat, mungkin 100MW tenaga elektrik ini yang akan dijual kepada Singapura, adalah hasil daripada projek janakuasa solar ini," katanya hari ini.

 

YTL Power, sebelum ini, tambah beliau, tidak pernah mempunyai pendedahan kepada projek tenaga solar mahupun hidro.

 

Kumpulan hanya memiliki pendedahan kepada projek janakuasa batu arang menerusi pegangan 20% dalam Loji Jawa Power di Indonesia yang berkapasiti 1,220MW. 

 

Aset utama tenaganya ialah loji gas berkapasiti 3,100MW di Singapura. Unitnya di negara tersebut merekodkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM275.3 juta bagi tahun kewangan 2021 berbanding kerugian sebelum cukai sebanyak RM172.4 juta pada tahun kewangan 2020.

 

Firma itu bagaimanapun mengekalkan saranan 'beli' ke atas saham YTL Power dengan nilai saksama pada 85 sen sesaham. 

 

Setakat 10 pagi ini, saham YTL Power menokok 0.05 sen atau 0.72% kepada 70 sen dengan 71,400 saham diniagakan. - DagangNews.com