Hap Seng Plantation dijangka hadapi tekanan akibat peningkatan kos, kekurangan tenaga kerja | DagangNews Skip to main content

Hap Seng Plantation dijangka hadapi tekanan akibat peningkatan kos, kekurangan tenaga kerja

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 April - Hap Seng Plantations Holdings Berhad dijangka menghadpi tekanan akibat peningkatan kos pengeluaran dan kekurangan tenaga kerja.

 

Kumpulan itu berkata, bagi mengurangkan tekanan itu, semakan secara berkala ke atas kebolehlaksanaan untuk mekanisasi kerja-kerja tertentu dengan objektif untuk mengurangkan kos dan pergantungan tenaga kerja manual.

 

Selain itu, pengurusan perladangan menjalankan semakan suku tahunan gaji pekerja untuk memastikan kumpulan membayar kadar pasaran yang kompetitif untuk meminimumkan pengurangan pekerja.

 

"Keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan setiap pekerja sentiasa menjadi keutamaan kumpulan.

 

"Walaupun telah beralih kepada fasa endemik COVID-19, kumpulan terus menjalankan ujian calitan terpilih, menyediakan peralatan pelindung diri yang diperlukan, mengetatkan kawalan pergerakan dan menyelenggara pusat kuarantin sementara mengikut garis panduan Kementerian Kesihatan," katanya dalam Laporan Tahunan 2022 yang dikeluarkan hari ini.

 

Kumpulan itu juga menjangkakan prospek perniagaan kumpulan itu pada 2023 bergantung kepada faktor makroekonomi domestik dan global yang mempengaruhi pasaran minyak sawit.

 

Kumpulan itu berkata, selain itu ia turut dipengaruhi oleh keadaan cuaca di negara utama pengeluar benih minyak, dasar kerajaan mengenai biodiesel serta corak tanaman bermusim buah tandan segar (BTS).

 

"Pengeluaran minyak sawit bagi suku pertama 2023 menunjukkan tanda-tanda pemulihan walaupun hujan lebat dan banjir khususnya di Sabah.

 

"Pada 2023, pengeluaran minyak sawit Malaysia diramal mencecah hampir 19 juta tan.

 

"Dengan jangkaan peningkatan dalam pengeluaran minyak sawit ini, Malaysia mungkin menghadapi persaingan sengit daripada Indonesia yang menawarkan harga yang kompetitif untuk melindungi bahagian pasaran mereka," katanya. - DagangNews.com