Hap Seng Plantations sasar tingkat penggunaan mesin untuk kurangkan kebergantungan tenaga kerja, kos pengeluaran | DagangNews Skip to main content

Hap Seng Plantations sasar tingkat penggunaan mesin untuk kurangkan kebergantungan tenaga kerja, kos pengeluaran

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 April - Hap Seng Plantations Holdings Berhad menyasarkan peningkatan penggunaan mesin di dalam proses pengeluarannya bagi mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja selain menjimatkan kos pengeluaran.

 

Katanya, sasaran itu dibuat kerana kumpulan itu berhadapan cabaran dari segi peningkatan kos pengeluaran dan kekurangan tenaga kerja.

 

"Pada masa yang sama, pengurusan sedang menjalankan semakan gaji pekerja secara berkala untuk memastikan kadar gaji itu selaras dengan pasaran.

 

"Keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan pekerja sentiasa diutamakan amat penting kepada kumpulan, khususnya semasa pandemik Covid19 dan kami terus menjalankan ujian pengesanan dan menyediakan set Pelindung Diri (PPE) yang diperlukan.

 

"Pada masa sama kami mengetatkan kawalan pergerakan dan menetapkan kuarantin sementara pusat mengikut garis panduan Kementerian Kesihatan (KKM)," katanya dalam Laporan Tahunan 2021 kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Hap Seng berkata, industri minyak sawit Malaysia merekodkan harga minyak sawit mentah (MSM) tertinggi dalam sejarah apabila ia mencecah paras RM8,000 satu tan pada suku pertama 2022 akibat gangguan bekalan dan saingan minyak makan akibat ketegangan geopolitik.

 

Katanya, keadaan itu disokong oleh pengeluaran MSM yang rendah, kekurangan bekalan minyak makan lain dan peningkatan permintaan kesan daripada pemulihan ekonomi global.

 

"Bagaimanapun, harga MSM dijangka kekal stabil untuk separuh tahun pertama dan akan berlaku sedikit perubahan pada separuh tahun kedua dengan pengeluaran MSM dijangka meningkat," katanya.

 

Kumpulan itu berkata, prospek mereka bergantung kepada kepada faktor makroekonomi domestik dan global yang mempengaruhi pasaran minyak sawit, keadaan cuaca di negara pengeluar, dasar kerajaan mengenai biodiesel dan tanaman bermusim buah tandan segar (FFB).

 

Pengeluaran minyak masak untuk suku pertama 2022 menunjukkan tanda-tanda pemulihan dari segi pengeluaran meskipun berlaku hujan lebat dan banjir terutama di Sabah yang menjejaskan aktiviti penuaian serta pemprosesan.

 

Bagaimanapun, kumpulan itu menjangkakan berlaku tekanan harga dari segi peningkatan kos baja serta bahan api dan ditambah dengan gaji minimun pekerja bermula Mei 2022. - DagangNews.com