Harapan terhadap vaksin COVID-19, lonjak keyakinan dalam pasaran | DagangNews Skip to main content

Harapan terhadap vaksin COVID-19, lonjak keyakinan dalam pasaran

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 


KUALA LUMPUR 23 Nov. - Pasaran tempatan petang ini ditutup tinggi, naik 3.73 mata kepada 1,597.48 mata setelah memulakan dagangan rendah, 1,583.26 mata. 

 

Indeks FBM KLCI itu yang bergerak dalam jajaran antara 1592.71 hingga 1600.58 mata menyaksikan 9.28 bilion saham diniagakan bernilai RM4.44 bilion. 

 

Kaunter rugi mengatasi untung pada 674 berbanding 540 manakala 444 kaunter tidak berubah. 

 

Bagi pasaran kewangan pula, ringgit ditutup pada RM4.0880/0930 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), lebih tinggi berbanding penutupan pada Jumaat, RM4.0900/0950. 

 

Menurut Bloomberg, pasaran saham negara-negara membangun, mata wang dan bon meningkat bagi minggu ketiga berturut-turut dalam 5 hari sejak Jumaat lalu memandangkan prospek terhadap vaksin COVID-19 mengatasi kebimbangan lonjakan wabak itu meskipun ia akan menyebabkan sekatan yang lebih ketat. 

 

Perkembangan vaksin pula semakin positif apabila penemuan daripada peringkat akhir vaksin AstraZeneca akan dikeluarkan berikutan kejayaan ujian Pfizer Inc. dan Moderna Inc. 

 

AstraZeneca menjangkakan keberkesanan vaksinnya sekitar 90% tanpa sebarang kesan sampingan yang serius. 

 

AS merancang untuk melancarkan vaksinasi secara besar-besaran dalam tempoh beberapa minggu akan datang dan United Kingdom pula mengumumkan kawalan kuarantin ketika Krimas akan dilonggarkan manakala kerajaan Perancis pula merancang untuk melonggarkan sekatan dalam tiga fasa mulai Disember.   

 

Harapan terhadap vaksin COVID-19 turut menyokong kenaikan harga minyak apabila Brent melepasi paras $45 setong selepas melonjak 1.71% kepada AS$45.69 setong setakat ini manakala West Texas Intermediate naik 1.41% kepada AS$43.02 setong. 

 

Kedua-dua harga minyak ini meningkat sehingga 5% minggu lalu. 


 
Ketua Strategi Pasaran Galobal di Axi, Stephen Innes berkata, sentimen positif ini akan dipacu oleh perkembangan positif dalam keberkesanan vaksin COVID-19 dan jangkaan mesyuarat OPEC+ hujung bulan ini yang akan menyaksikan kumpulan ini menangguhkan pengurangan semasa antara 3 hingga 6 bulan. 

 

Sementara itu, Malacca Securities dalam nota kajian hari ini berkata, saham rendah dijangka diniagakan tinggi manakala pelabur pula akan terus memantau hasil korporat yang akan diumumkan minggu ini dan juga sesi undian Belanjawan 2021 di Parlimen, Khamis ini. 

 

Di dalam negara, ketika ini semua pihak tertumpu kepada Belanjawan 2021 sama ada akan diluluskan atau tidak di Parlimen. - DagangNews.com