Harbour-Link Group ambil alih tiga tanah industri di Telipok bernilai RM8.5 juta | DagangNews Skip to main content

Harbour-Link Group ambil alih tiga tanah industri di Telipok bernilai RM8.5 juta

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Mei - Harbour-Link Group Berhad menerusi anak syarikatnya, Harbour-Link Logistics Sdn. Bhd. menandatangani Perjanjian Jual Beli (SPA) dengan tiga vendor bagi mengambil alih tiga tanah industri di Telipok, Kota Kinabalu bernilai RM8.5 juta. 

 

Tiga tanah berkenaan yang masing-masing berkeluasan antara 0.2 hektar dan 0.4 hektar merupakan tanah pajakan yang akan tamat tempoh pada 2099.

 

Kumpulan itu berkata, pengambilalihan itu adalah untuk memenuhi aktiviti bahagian perkapalan dan marin yang berkembang yang akan membentuk sebahagian daripada rancangan pengembangan perniagaan berterusan.

 

"Tanah tersebut akan digunakan sebagai depoh kontena dan akan digunakan secara dalaman danakan  disewakan kepada pihak luar," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Kumpulan itu berkata, harga belian telah dicapai berdasarkan rundingan antara vendor dan Harbou-Link Logistics atas dasar kerelaan pembeli dan penjual selepas mengambil kira kesesuaian dan lokasi strategik tanh tersebut.

 

Bagi mengambil kira nilai tanah tersebut, Harbour-Link Logistics telah membuat pertanyaan tentang nilai pasaran tanah dan kawasan sekitar Telipok.

 

Tiada penilaian rasmi dibuat kerana lembaga pengarah berpendapat bahawa pertanyaan yang dibuat adalah mencukupi untuk tujuan ini.

 

"Pemerolehan itu hendaklah dipenuhi sepenuhnya dengan tunai melalui dana yang dijana secara dalaman," katanya.

 

Memandangkan Pengambilalihan itu dijangka selesai menjelang suku keempat 2023, ia tidak akan memberi sebarang kesan ke atas pendapatan Harbour-Link Group bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2023.

 

Bagaimanapun, memandangkan potensi pembangunan tanah, pengambilalihan itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan masa depan Harbour-Link Group. - DagangNews.com