KUALA LUMPUR 2 Jan - Maybank Investment Bank (Maybank IB) mengunjurkan jumlah jualan bagi sektor sarung tangan bertambah baik dengan harga bahan mentah kembali stabil.
Katanya, walaupun jumlah jualan kekal tidak menentu kerana pembeli tidak terdesak untuk mendapat stok baharu akibat lebihan bekalan dalam pasaran tetapi ia mencatatkan peningkatan ketara dari bulan ke bulan dalam kalangan pengeluar sarung tangan tempatan.
Peningkatan itu juga boleh dikaitkan dengan peningkatan aktiviti penyimpanan dan jurang harga yang lebih rendah berbanding pesaing mereka di China.
"Kami menjangkakan kadar penggunaan loji meningkat pada suku tahun akan datang, mencapai antara 35% hingga 50% (julat semasa 35% hingga 45%) yang membawa kepada kos pengeluaran yang lebih rendah.
"Kadar penggunaan kilang juga dijangka terus meningkat melebihi 65% untuk Hatalega Holdings Berhad selepas penamatan kemudahan di Bestari Jaya.
"Bagi Kossan Rubber Industries Berhad, mereka sedang berusaha untuk menutup beberapa kilang yang sepatutnya membawa kepada kadar penggunaan yang lebih baik pada 2024," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma penyelidikan itu berkata, tidak semua pesanan pembelian sarung tangan akan ke China kerana pembeli juga memiliki strategi pengurusan risiko dengan beberapa pesanan harus ditujukan ke pasaran lain termasuk Malaysia.
Katannya, kecekapan kos dan pengeluaran adalah faktor utama dalam persaingan ini.
"Selain persaingan harga berterusan, kunci kira-kira kukuh adalah penting bagi membantu pengeluar sarung tangan bagi mendepani sebarang cabaran," katanya.
Maybank IB berkata, berdasarkan unjuran jangka pendek kekal positif, mereka menyemak naik penarafan sektor itu kepada 'positif'.
"Hartalega kekal sebagai pilihan utama kami dengan saranan 'beli'.
"Kecekapan kos daripada penutupan kilang di Bestari Jaya menjadikan penetapan harganya lebih kompetitif dan membolehkan kumpulan itu mempertahankan margin operasi sekiranya berlaku sebarang kenaikan harga bahan mentah," katanya. - DagangNews.com