Harga barangan catatkan peningkatan selepas berlaku kenaikan kos kepada peniaga | DagangNews Skip to main content

Harga barangan catatkan peningkatan selepas berlaku kenaikan kos kepada peniaga

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 29 Nov - Harga barangan di pasar basah mencatatkan peningkatan selepas peniaga berhadapan kenaikan pelbagai kos.

 

Pengarah Ekonomi di Pejabat Perdana Menteri, Shahril Suffian Hamdan mengakui perkara itu, selepas mengadakan pemantauan harga barang seperti ayam, telur dan sayur-sayuran bersama penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Lumpur di Pasar Keramat, hari ini.

 

Beliau berkata, hasil dapatan di lapangan akan digunakan untuk membantu koordinasi pelbagai agensi untuk berusaha menstabilkan harga.

 

"Walaupun kenaikan harga komoditi di pasaran antarabangsa adalah di luar kawalan dalaman, namun faktor pencatutan dalam rantaian nilai (selain peladang, petani dan peruncit) juga tidak boleh ditolak.

 

"Saya difahamkan aktiviti penguatkuasaan akan terus diperhebat di seluruh saluran rangkaian makanan, dari peladang, pengedar, sehingga kepada peruncit. 

 

"Difahamkan KPDNHEP, MAFI (Kementerian Pertanian dan Industri Makanan) dan agensi-agensi berkaitan akan menggandakan usaha ke arah cadangan campur tangan untuk dipertimbangkan pihak kerajaan," katanya menerusi laman Facebook.

 

Media sebelum ini melaporkan seluruh negara menyaksikan peningkatan harga barang keperluan harian, input pertanian dan makanan yang memberi kesan kepada pelbagai pihak di peringkat pembekal, peniaga serta pengguna.-Dagangnews.com