Harga barangan pengguna meningkat didorong kenaikan gaji minimum baharu - HLIB | DagangNews Skip to main content

Harga barangan pengguna meningkat didorong kenaikan gaji minimum baharu - HLIB

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Julai - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research menjangkakan harga komoditi yang tinggi selain peningkatan kos pengangkutan serta kenaikan harga produk di pasaran akan menghehadkan permintaan dalam sektor pengguna.

 

Firma itu berkata, momentum pembukaan semula sektor ekonomi selain pemberian gaji minimum RM1,500 dilihat memberi kesan positif kepada indeks sentimen pengguna.

 

Katanya, pemberian gaji minimum daripada RM1,200 kepada RM1,500 bermula 1 Mei 2022 memberi manfaat kepada lebih daripada satu pertiga tenaga pekerja di Malaysia dan secara tidak langsung meningkatkan kebajikan sosial pekerja bergaji rendah.

 

"Bagaimanapun, perkara itu menyebabkan berlakunya kenaikan kos untuk menjalankan perniagaan.

 

"Kami berpendapat, selain daripada kenaikan kadar inflasi, harga barangan pengguna juga akan meningkat didorong oleh pemberian gaji minimum yang baharu," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, walalupun kadar pendapatan meningkat tetapi tekanan inflasi memberi kesan kepada kuasa beli pengguna dan melemahkan sentimen di dalam sektor itu.

 

Katanya, kebanyakan syarikat sudah mula menaikkan harga jualan produk pada kadar rendah walaupun berdepan kenaikan harga bahan mentah lebih tinggi yang mampu memberi kesan kepada margin keuntungan.

 

"Harga komoditi telah mencatatkan peningkatan selepas berlaku gangguan rantaian bekalan sejak bermulanya pandemik COVID-19 dan terus dirukkan oleh konflik Rusia-Ukraine dan kawalan pergerakan di China," katanya.

 

Firma itu bagaimanapun mengekalkan penarafan 'neutral' untuk sektor itu kerana ia menerima manfaat daripada pembukaan semula sektor ekonomi namun keadaan itu terjejas dengan tekanan inflasi semasa.

 

Firma itu juga mengekalkan saranan 'beli' untuk Berjaya Food dengan harga sasaran (TP) RM4.83 kerana positif terhadap perancangan Starbucks untuk membuka lebih banyak cawangan baharu selain jualan yang tinggi didorong promosi aktif serta inovasi produk baharu.

 

"Kami juga berkeyakinan dengan Focus Point (beli; TP RM1.34) dengan beranggapan sektor makanan dan minuman serta sektor optik akan menjadi penerima manfaat besar daripada pembukaan semula sektor ekonomi.

 

"Pengembangan dalam perniagaan optik akan membolehkan kumpulan itu mendapatkan rebat yang lebih tinggi daripada pembekal utamanya yang majoritinya terdiri daripada jenama asing," katanya. - DagangNews.com