Harga besi, simen terus catat peningkatan pada Mac 2023 - DOSM | DagangNews Skip to main content

Harga besi, simen terus catat peningkatan pada Mac 2023 - DOSM

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 7 April - Indeks harga seunit besi mencatatkan peningkatan lebih kecil 0.9% pada Mac 2023 berbanding 1.5% pada Februari lepas, seiring dengan trend peningkatan harga bijih besi dan besi utama di peringkat global, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, indeks harga seunit simen telah meningkat 1.1% pada Mac 2023 berbanding Februari 2023 berikutan peningkatan kos pengeluaran yang masih berterusan seperti harga bahan mentah iaitu batu kapur, arang batu, tenaga dan kos penghantaran.

 

Katanya, perbandingan tahun ke tahun bagi indeks harga seunit bahan binaan pula mencatat peningkatan  antara 1.2 hingga 10.2% pada Mac 2023 berbanding bulan sama tahun lalu.

 

“Indeks harga bagi seunit simen dan batu bata dan dinding meningkat masing-masing 10.2 dan 8% bagi Mac 2023 berbanding bulan sama tahun lepas.

 

“Namun begitu, indeks harga bagi seunit bagi besi pula telah mencatat penurunan 0.6%,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Mohd Uzir berkata, purata harga seunit besi yang terdiri daripada bar bulat keluli lembut dan batang besi tegangan tinggi Mycon 60 adalah RM3,691.66 bagi setiap tan metrik dan mencatatkan peningkatan 0.8% berbanding bulan sebelumnya (Februari 2023: RM3,662.23 setiap tan).

 

Katanya, purata harga simen (Ordinary Portland) turut mencatatkan peningkatan 1.1% iaitu RM22.40/50 kilogram (kg) berbanding RM22.15/ 50kg (Februari 2023). 

 

 

dosm

 

 

"Indeks Kos Binaan tanpa bar keluli dan termasuk bar keluli bagi semua kawasan di Semenanjung Malaysia merekodkan peningkatan antara 0.2 hingga 2.7% pada Mac 2023 berbanding bulan sebelumnya.

 

“Selain itu, Indeks Kos Binaan tanpa bar keluli bagi Sabah menunjukkan peningkatan yang perlahan bagi hampir keseluruhan kategori bangunan iaitu di antara 0.1 dan 0.5% pada Mac 2023 berbanding bulan sebelumnya,” katanya. 

 

Tambah beliau, peningkatan indeks yang tertinggi adalah cerucuk (konkrit tetulang) di Kota Kinabalu, manakala indeks bagi kerangka besi satu tingkat (bangunan) di Tawau mencatatkan penurunan 0.2%.

 

"IKB tanpa bar keluli dan termasuk bar keluli di Sarawak menunjukkan peningkatan antara 0.1 dan 4% bagi hampir semua kategori bangunan. 

 

"Indeks bagi cerucuk (konkrit tetulang) di Miri dan Sibu telah mencatatkan peningkatan masing-masing 4% dan 1.3%," katanya. - DagangNews.com