Harga emas melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh sebulan didorong kelemahan dolar AS | DagangNews Skip to main content

Harga emas melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh sebulan didorong kelemahan dolar AS

KUALA LUMPUR 3 Jun - Harga emas melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh sebulan didorong kelemahan dolar Amerika Syarikat (AS) yang membolehkan ia mencatatkan kenaikan buat minggua ketiga berturut-turut.

 

Harga emas bagi pasaran semasa meningkat 0.2% kepada AS$1,871.28 (RM8,207.43) bagi satu auns pada pukul 2.14 pagi dan ia merupakan yang tertinggi sejak 9 Mei 2022.

 

Setakat minggu ini, harga emas mencatatkan kenaikan harga sebanyak 1% dan pasaran hadapan emas AS juga melonjak 0.2% kepada AS$1,874.50 (RM8,222.49).

 

Penganalisis kanan pasaran City Index, Matt Simpson berkata, harga dolar AS yang rendah menjadikan emas lebih menarik kepada pembeli dari luar negara.

 

"Kami berpendapat harga terendah adalah sekitar AS$1,828 (RM8,018.52) minggu ini dan momentum kenaikan itu menyaksikan ia boleh melonjak ke paras AS$1,900 (RM8,334.35)

 

"Kami juga mengambil perhatian bahawa spekulasi besar dan dana terurus meningkatkan pendedahan bersih kepada emas untuk minggu pertama bagi memberikan sokongan kepada paras terendah," katanya seperti dilaporkan Reuters, hari ini.

 

Harga emas melonjak melebihi 1% semalam, disokong oleh kejatuhan dolar AS dan data menunjukkan jumlah pembayaran gaji bagi sektor swasta di negara itu meningkat kurang daripada jangkaan.

 

Tanda-tanda krisis kewangan boleh dilihat menerusi peningkatan sokongan terhadap emas kerana pelabur mengaggap bahan itu sebagai aset paling selamat.

 

Sementara itu, Rizab Persekutuan AS akan terus mengetatkan dasar monetari melangkaui kenaikan kadar faedah setengah mata peratusan yang dijangka dalam setiap dua mesyuaratnya dengan dua penggubal dasar memberi isyarat pada Khamis namun jumlahnya tidak diketahui.

 

Dana dagangan bursa bersandarkan emas terbesar di dunia, SPDR Gold Trust berkata, pegangannya susut 0.1% kepada 1,066.04 tan metrik pada Khamis daripada 1,067.20 tan metrik pada sesi sebelumnya. 

 

Pasaran perak semasa meningkat sebanyak 0.5% kepada AS$22.39 (RM98.21) bagi setiap auns dan menunjukkan peningkatan sebanyak 1.4% pada minggu ini.

 

Platinum kukuh dengan 0.2% kepada AS$1,024.57 (RM4,494.27) dan mencatatkan kenaikan mingguan sebanyak 7.4%, yang tertinggi sejak Mei 2021 manakala Paladium mencatatkan kenaikan 0.5% kepada AS$2,064.20 (RM9,054.61). - DagangNews.com