Harga emas naik kepada AS$2,200 setiap auns troy pada 2024 - MGA | DagangNews Skip to main content

Harga emas naik kepada AS$2,200 setiap auns troy pada 2024 - MGA

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR 1 Mac - Persatuan Emas Malaysia (MGA) mengunjurkan harga emas naik kepada A$2,200 setiap auns troy (AS$1=RM4.76) pada tahun ini daripada AS$2,030 pada masa ini berikutan permintaan yang meningkat terhadap logam itu.

 

Presidennya, Datuk Louis Ng menjelaskan, permintaan meningkat itu disebabkan bank pusat membeli emas sebagai lindung nilai terhadap mata wang.

 

"Ia bukan sahaja digunakan oleh bank pusat tetapi juga peruncit berikutan ketidaktentuan ekonomi.

 

"Terdapat perang di Timur Tengah dan perang Rusia-Ukraine, justeru permintaan untuk emas sangat tinggi,” katanya kepada media di luar Persidangan Emas Malaysia (MGC) 2024 di sini.

 

Mengenai Cukai Barang Bernilai Tinggi (HVGT), Louis meminta kerajaan menetapkan nilai ambang harga munasabah RM50,000 untuk barang kemas dengan kadar cukai sebanyak 5%.

 

"Industri barang kemas amat penting untuk pasaran Malaysia. Kami mempunyai ribuan kedai dan kilang barang kemas. Oleh itu, jika nilai ambang tidak ditetapkan, ia akan memberi impak yang besar kepada industri seperti kehilangan pekerjaan,” katanya, lapor Bernama.

 

 

MGA
Datuk Louis Ng

 

 

Sementara itu, MGA baru-baru ini menganjurkan edisi kedua MGC sebagai platform untuk memacu industri logam berharga itu di peringkat tempatan melalui pelbagai aktiviti daripada penglibatan aktif dalam penggubalan dasar hingga mengekalkan piawaian emas serantau.

 

 

MGA

 

 

Persidangan itu menghimpunkan lebih 300 pemimpin logam berharga global dan pemain industri dari pelbagai negara untuk berkongsi pandangan mengenai trend pasaran emas global dan mengetengahkan potensi emas untuk perdagangan antarabangsa. - DagangNews.com