Harga gas rendah, pendapatan Gas Malaysia berpotensi menyusut pada FY24 | DagangNews Skip to main content

Harga gas rendah, pendapatan Gas Malaysia berpotensi menyusut pada FY24

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Feb - Pendapatan Gas Malaysia Bhd berpotensi menyusut pada FY24 kesan daripada harga gas yang rendah.

 

Maybank Investment Bank (Maybank IB) juga tidak melihat sebarang pemangkin penarafan semula yang kukuh untuk kumpulan itu dalam tempoh terdekat.

 

"Kami menyemak turun unjuran pendapadatan FY24 dan FY25 sebanyak 1% dan kami menjangkakan harga gas yang sedikit tinggi secara berperingkat pada separuh pertama tahun ini.

 

"Kami mengunjurkan penyusutan pendapatan kumpulan antara 5% hingga 10% dari tahun ke tahun bagi FY24 (disebabkan asas tang tinggi pada separuh pertama 2023)," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Untung bersih Gas Malaysia susut 1.6% kepada RM383 juta bagi FY23 kesan penurunan jumlah jualan gas asli

 

Terdahulu, kemerosotan untung bersih kumpulan itu disebabkan jumlah jualan gas asli menurun, sementara perbelanjaan operasi dan pentadbiran lebih tinggi dan sumbangan lebih rendah daripada syarikat usaha sama kumpulan, sebahagiannya diimbangi oleh pendapatan kewangan yang lebih tinggi dalam tahun kewangan semasa.

 

Bagaimanapun, Gas Malaysia mencatat prestasi yang baik suku ke suku dengan mencatat keuntungan bersih RM104 juta pada suku keempat tahun kewangan 2023 (4QFY23), meningkat 9.6% daripada RM95 juta bagi suku ketiga tahun kewangan 2023 (3QFY23).

 

Ini disebabkan terutamanya oleh jumlah gas asli terjual yang lebih tinggi dan kos gas yang lebih rendah pada suku semasa, sebahagiannya diimbangi oleh perbelanjaan operasi dan pentadbiran yang lebih tinggi.

 

Firma penyelidikan itu berkata, jumlah jualan Gas Malaysia menyusut sebanyak 10% dari tahun ke tahun pada FY23.

 

Bagaimanapun, pada asas suku tahunan, aliran volum bertambah baik pada suku keempat 2023, dengan jumlah jualan meningkat sebanyak 4% didorong pengambilan yang lebih tinggi secara berturutan daripada segmen sarung tangan getah.

 

"Kami mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran (TP) RM3.40 sesaham," katanya. - DagangNews.com