Harga jualan projek baharu Mah Sing dijangka meningkat akibat kenaikan kos bahan binaan | DagangNews Skip to main content

Harga jualan projek baharu Mah Sing dijangka meningkat akibat kenaikan kos bahan binaan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 April - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research menjangkakan Mah Sing Group Berhad akan menaikkan harga jualan bagi projek baharu mereka bagi menyerap kenaikan kos pada masa akan datang.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kos bahan binaan utama telah menyaksikan peningkatan yang mendadak iaitu pertambahan 20% untuk batang keluli pada1Q22 dan kenaikan 40% untuk simen dalam tempoh sama.

 

Bagaimanapun, pihak pengurusan yakin mengekalkan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak 18% selepas melihat impak kenaikan harga kos itu tidak menjejaskan projek yang sedang berjalan. 

 

"Kami yakin Mah Sing dapat menyerap kenaikan kos itu dan kadar pemilikan tinggi untuk produk mereka membolehkan kumpulan itu menjadi lebih fleksibel dalam meningkatkan harga jualan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, sasaran jualan Mah Sing sebanyak RM2 bilion bagi FY22 memberi gambaran bahawa kumpulan itu berkeyakinan tinggi terhadap prospek pasaran semasa.

 

Katanya, sasaran jualan itu disokong oleh jualan yang tidak direkodkan sebanyak RM1.9 bilion dan pelancaran projek baharu bernilai RM2.4 bilion.

 

"Kami yakin produk yang ditawarkan adalah majoriti berada dalam segmen mampu milik (60% berharga di bawah RM500,00) yang akan memberikan kelebihan kepada mereka," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) tidak berubah RM0.87 selepas mengambil kira Mah Sing mempunyai model perniagaan yang berdaya tahan yang boleh disesuaikan dengan perubahan sektor yang dinamik.

 

Katanya, pendedahan terhadap segmen rumah mampu milik dengan 60% berada di bawah harga RM500,000 akan terus memberi manfaat kerana kebanyakan pembeli rumah lebih tertumpu kepada rumah yang lebih murah akibat peningkatan kos kehidupan. - DagangNews.com