Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 21 Okt. - Trend peningkatan purata harga jualan (ASP) sarung tangan dijangka kekal tinggi pada tahun kewangan 2021.
MIDF Research berkata, jangkaan itu dibuat berdasarkan kepada kes COVID-19 yang kian meningkat di seluruh dunia.
"Jumlah kes COVID-19 baharu telah melebihi 400,000 di seluruh dunia. Bilangan kes harian baharu mungkin terus tinggi kerana ekonomi global tidak mampu untuk melaksanakan perintah berkurung secara menyeluruh. Susulan itu sarung tangan akan digunakan sebagai alat pelindung dan pencegahan.
"Kami jangkakan bahawa ASP cenderung kekal tinggi pada tahun kewangan 2021 berdasarkan senario asas penyediaan vaksin pada pertengahan 2021.
"Pengurusan vaksin juga memerlukan kepada penggunaan sarung tangan," kata MIDF Research.
Berdasarkan penilaian saluran yang dibuat MIDF Research, bekalan sarung tangan perubatan kekal ketat dan ASP masih berada dalam lintasan ke atas selepas melonjak pada awal separuh tahun pertama 2020.
Kos jualan barangan dari kilang juga dijangka meningkat sebanyak 30% hingga 40% pada suku ketiga tahun kewangan semasa 2020 berbanding suku kedua 2020.
Susulan itu, suku keempat 2020 juga dijangka meningkat sebanyak 40% hingga 50%.
Mengulas lanjut berkaitan permintaan sarung tangan, MIDF Research berkata, pihaknya tetap percaya permintaan untuk sarung tangan kekal tinggi pada tahun 2022 disebabkan oleh pertumbuhan organik industri yang meningkat lebih tinggi disebabkan oleh kesedaran masyarakat terhadap kebersihan.
"Sejak berlakunya wabak, permintaan sarung tangan getah meningkat pada kadar lebih daripada 20% berbanding hanya 10% pada sebelumnya.
"Selain itu, penggunaan sarung tangan juga lebih meluas dalam industri dan agensi kerajaan serta perkhidmatan seperti kecantikan dan dandanan," jelas MIDF Research lagi. - DagangNews.com