Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 12 Jan. - Purata harga jualan (ASP) sarung tangan getah dilihat tetap teguh dalam trend peningkatan.
CGS-CIMB Research berkata, perkembangan tersebut mampu menyokong pendapatan yang lebih tinggi syarikat pengeluar sarung tangan getah bagi suku berikutnya.
"Kami percaya syarikat pengeluar sarung tangan tetap mengukuh pada tahun kewangan 2021 (FY21) susulan peningkatan kes COVID-19 di seluruh dunia sekali gus meningkatkan permintaan sarung tangan.
"Persatuan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) menganggarkan bahawa kekurangan sarung tangan global akan berterusan pada 2021 disebabkan oleh peningkatan penggunaan sarung tangan dalam bidang perubatan dan juga industri bukan perubatan (runcit,F&B).
"Berdasarkan pemeriksaan aliran kami, ASP sarung tangan getah tetap teguh dalam trend menaik yang dapat menyokong pendapatan yang tinggi pada suku berikutnya," jelas CGS-CIMB Research lagi.
Dalam nota kajian sektor sarung tangan getah Singapura, CGS-CIMB Research memberitahu, syarikat UG Healthcare Corp Ltd (UGHC) melaporkan keuntungan bersih sebanyak S $30 juta iaitu peningkatan 54 kali ganda berbanding tahun sebelumnya.
Ujar CGS-CIMB Research, pihaknya menganggarkan bahawa ASP UGHC meningkat sebanyak 10% hingga 20% pada Disember.
Dalam pada itu, ASP tersebut dijangkan akan terus meningkat sebanyak 5% hingga 10% bulan ke bulan pada Januari dan Februari 2021.
"Kami percaya aliran menaik ASP dapat disokong oleh jurang harga yang semakin sempit untuk sarung tangan antara negara membangun dan negara maju," jelas CGS-CIMB Research.
Sementara itu, sebuah lagi syarikat pengeluar sarung tangan Singapura, Riverstone Holdings (RSTON) melaporkan keuntungan bersih sebanyak RM275 juta pada suku keempat 2020.
Sehubungan itu, CGS-CIMB Research menganggarkan ASP syarikat tersebut meningkat 10% hingga 15% bulan ke bulan pada Disember dan Januari.
Selain itu, ASP RSTON juga dijangka meningkat sebanyak 5% hingga 10% lagi pada bulan Februari kepada AS$100 per seribu keping.
"Kami mengulangi saranan 'tambah' saham syarikat UGHC dan RSTON selain melihat pengumuman keputusan mendatang pada Februari untuk penilaian jangka pendek," jelas CGS-CIMB Research lagi. - DagangNews.com