Harga jualan sarung tangan terus melonjak hingga 1Q21 | DagangNews Skip to main content

Harga jualan sarung tangan terus melonjak hingga 1Q21

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 14 Sept. - Trend peningkatan purata harga jualan (ASP) sarung tangan dijangka berterusan sehingga suku pertama 2021 (1Q21).

Ini didorong oleh peningkatan harga bahan mentah selain kekurangan bekalan sarung tangan ke seluruh dunia. 

CGS-CIMB Research menjangkakan ASP sarung tangan melonjak antara 10% hingga 45% pada suku keempat 2020 (4Q20) berbanding suku ketiga 2020 (3Q20) dengan kadar AS$50 hingga AS$100 seunit, melebihi daripada jangkaan. 

“Bagaimanapun, kami mendapati terdapat pembeli sarung tangan menawarkan kadar ASP tetap (harga premium berbanding ASP terkini) dengan minimum setahun kontrak untuk mendapatkan bekalan sarung tangan. 

“Bagi pandangan kami, situasi ini memberikan kepastian terhadap kadar ASP pada 2021 sekiranya pembuat sarung tangan bersetuju dengan kontrak tersebut,” jelas analisis CGS-CIMB.

Tambah CGS-CIMB, keperluan pembuat sarung tangan kekal relevan sekurang-kurangnya sehingga separuh pertama tahun 2021 (1H21), sebagai bukti kepada lonjakan permintaan produk itu ketika ini.

“Kekurangan bekalan sarung tangan dilihat bertambah buruk memandangkan kes COVID-19 global tidak menunjukkan tanda untuk berkurang. Kebanyakan pasaran maju dengan penggunaan sarung tangan tinggi seperti Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) terus mencatatkan kes tinggi. 

“Kami menjangkakan situasi ini bertambah buruk memandangkan kebanyakan negara barat bakal menghadapi musim sejuk pada 4Q20 yang mendorong kepada lonjakan kes COVID-19,” kata CGS-CIMB.

Dalam pada itu, pembuat sarung tangan dan Pertubuhan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) memberi bayangan bahawa tiada rundingan berhubung cukai ‘durian runtuh’ (windfall tax) dijalankan dengan pihak kerajaan ketika ini.

Cukai ‘durian runtuh’ yang dikenakan ke atas sektor sarung tangan akan memberikan implikasi negatif dalam tempoh jangka masa panjang kerana ia mendorong pembuat sarung tangan untuk berhijrah ke negara yang menawarkan persekitaran lebih kondusif. - DagangNews.com