KUALA LUMPUR 15 Julai - Harga kenderaan dijangka meningkat antara 8% hingga 20% pada tahun hadapan berikutan pembaharuan cukai eksais dan ketiadaan pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) bagi model pemasangan tempatan (CKD) dan model diimport sepenuhnya (CBU).
Penganalisis RHB Investment Bank Research, Jim Lim Khai Xhiang berkata, pembaharuan duti eksais diperkenalkan kerajaan Pakatan Harapan pada Januari 2020, tetapi pelaksanaannya ditangguhkan pada akhir 2020 dan sekali lagi hingga akhir 2022.
Katanya, langkah itu akan mengubah takrifan Nilai Pasaran Terbuka (OMV) kenderaan untuk memasukkan keuntungan dan perbelanjaan yang ditanggung bukan sahaja semasa proses pembuatan, tetapi juga proses penjualan.
"Pada pandangan kami, kenaikan harga sedemikian (8 hingga 20% seperti diunjurkan Persatuan Automotif Malaysia sebelum ini) sudah cukup untuk memberi kesan buruk kepada jualan kereta.
"Selain itu, pembaharuan itu juga boleh menjadikan Malaysia kurang berdaya saing, berpotensi menghalang pelaburan langsung asing baharu, seperti menghalang pasaran asing daripada menubuhkan pengeluaran tempatan kenderaan elektrik (EV)," katanya dalam nota kajian hari ini.
Pada masa sama, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 20 Jun lalu mengumumkan tarikh akhir pengecualian cukai jualan kenderaan penumpang kekal pada 30 Jun 2022, namun tempoh pendaftaran kenderaan bagi menikmati insentif pengecualian cukai itu dilanjutkan sehingga 31 Mac 2023.
Tengku Zafrul berkata, lanjutan tempoh pendaftaran kenderaan itu adalah satu penyelesaian titik tengah bagi mengimbangi kepentingan pengguna dan hasil cukai negara yang perlu ditingkatkan semula pascapandemik untuk memastikan kebajikan rakyat serta kesejahteraan ekonomi negara terus terpelihara.
Menurut Khai Xhiang, tempahan baharu akan melemah pada Julai ini dan kekal surut pada bulan-bulan berikutnya, kerana pesanan bernilai berbulan-bulan telah dibawa ke Jun, memandangkan ia merupakan peluang terakhir untuk memanfaatkan pengecualian SST.
Sebaliknya, ujar beliau, tempahan akan pulih secara beransur-ansur menjelang akhir tahun, terutamanya didorong oleh pelancaran model baharu, wajah baharu dan diskaun secara bermusim.
"Selain itu, ia turut dipengaruhi kadar dasar semalaman (OPR) yang lebih tinggi, akan menyebabkan kos pembelian kereta meningkat.
"Akibatnya, bank mungkin akan menjadi lebih berhati-hati dan kadar kelulusan pinjaman kereta mungkin menurun," jelasnya.
Beliau berkata, susulan berdepan kos alat ganti yang mahal, pengeluar dan pengedar mungkin menggunakan model dan wajah baharu untuk meningkatkan harga kenderaan bagi melepaskan kos input yang lebih tinggi.
Bagaimanapun, beliau mendapati, pengurusan jenama kereta nasional mengambil langkah berhati-hati kerana mereka mempunyai ruang terhad untuk menaikkan harga kenderaan.
"Kami menjangkakan banyak ketidaktentuan pada tahun hadapan yang boleh menjejaskan jualan kenderaan meskipun jumlah keseluruhan industri (TIV) dan hasil pada separuh kedua sepatutnya disokong oleh pesanan tertunggak yang kukuh.
"Ini terutamanya disebabkan tempahan yang lebih perlahan, kadar kelulusan pembiayaan yang lebih rendah, harga kereta lebih tinggi dan kuasa pembeli semakin lemah," katanya.
Namun, secara keseluruhan, beliau mengekalkan unjuran TIV bagi 2022 sebanyak 615,000 unit berbanding 600,000 unit yang dianggarkan Persatuan Automotif Malaysia (MAA).
Katanya, risiko negatif bagi sektor ini masih bergantung kepada masalah kekurangan bekalan yang lebih buruk daripada jangkaan, penangguhan pelancaran model baharu, gelombang baharu COVID-19, kesukaran mendapatkan pembiayaan dan kelemahan nilai ringgit.
"Walaupun hasil separuh kedua mungkin kukuh daripada memenuhi pesanan tertunggak, tetapi kami menasihatkan pelabur untuk melihat lebih jauh daripada itu.
"Oleh itu, kami mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor ini dengan saham pilihan utama ialah Sime Darby Bhd. dan Bermaz Auto Bhd. dengan kedua-duanya diberi saranan 'beli' pada harga sasaran masing-masing pada RM2.60 dan RM2.30 sesaham," katanya. -DagangNews.com