KUALA LUMPUR 13 Jan - Keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia dijangka kekal stabil pada 2025 sebanyak 5%, selaras dengan sasaran kerajaan sebanyak 4.5% hingga 5.5%, menurut CIMB Securities.
Firma penyelidikan itu berkata, unjuran itu berdasarkan pemulihan permintaan berterusan yang disokong oleh kitaran naik teknologi global, di samping perbelanjaan domestik teguh dipacu oleh pelaburan kukuh dan perbelanjaan pengguna berdaya tahan.
"Namun begitu, risiko penurunan permintaan juga telah meningkat.
"Pendekatan lebih berhati-hati oleh bank pusat global terhadap penurunan kadar mungkin didorong oleh ketegangan perdagangan yang juga meningkatkan tekanan inflasi global, akibatnya melemahkan prospek pertumbuhan negara.
"Kami mengekalkan ramalan pertumbuhan KDNK 2024 sebanyak 5.2% sejajar dengan unjuran semakan kerajaan sebanyak 4.8% sehingga 5.3%," kata CIMB Securities.
Katanya, pertumbuhan indeks pengeluaran perindustrian (IPI) Malaysia yang meningkat kepada 3.6% tahun ke tahun (YoY) pada November adalah sejajar dengan jangkaan pasaran.
"Peningkatan pertumbuhan itu didorong oleh keluaran pembuatan dan penjanaan elektrik yang lebih kukuh, di samping penurunan lebih perlahan dalam pengeluaran sektor perlombongan.
"Walaupun IPI November menunjukkan peningkatan dalam aktiviti perindustrian sejak beberapa bulan kebelakangan ini, pertumbuhan IPI pada Oktober dan November 2024 masih rendah daripada suku ketiga 2024, menandakan momentum aktiviti perindustrian yang lebih perlahan pada suku keempat 2024.
"Walaupun sektor pembuatan menghadapi cabaran, prestasi teguh sektor perkhidmatan boleh membantu mengimbangi kelemahan ini," katanya.
Sementara itu, Jabatan Perangkaan Malaysia dijangka mengeluarkan anggaran rasmi KDNK suku keempat 2024 pada Jumaat ini.- DagangNews.com