Jualan borong, runcit capai jualan RM149.3 bilion pada November 2024, peningkatan 4.7% - DOSM | DagangNews Skip to main content

Jualan borong, runcit capai jualan RM149.3 bilion pada November 2024, peningkatan 4.7% - DOSM

KUALA LUMPUR 13 Jan - Jumlah jualan sektor perdagangan borong dan runcit Malaysia meningkat sebanyak 4.7% tahun ke tahun untuk mencapai nilai jualan sebanyak RM149.3 bilion pada November 2024, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Ini merupakan jualan kedua tertinggi yang direkodkan pada tahun 2024, sedikit lebih rendah daripada pertumbuhan 5.5% yang dicatatkan pada Oktober 2024. 

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata perdagangan runcit mendahului dengan peningkatan sebanyak 5.8% kepada RM64.8 bilion, diikuti perdagangan borong yang mencapai jualan sebanyak RM66.2 bilion iaitu pertambahan sebanyak 4.7%.

 

Katanya, subsektor kenderaan bermotor juga menunjukkan pertumbuhan positif, berkembang sebanyak 1.4% kepada RM18.3 bilion.

 

“Perdagangan runcit menunjukkan ketahanan dengan jualan runcit di kedai bukan pengkhusuan meningkat sebanyak 5.5% dan jualan runcit di kedai pengkhususan meningkat sebanyak 8.2%. 

 

dosm

 

"Selain itu, jualan runcit bahan api kenderaan meningkat sebanyak 6.3% diikuti jualan runcit makanan, minuman dan tembakau sebanyak 6.5%.

 

"Jualan borong bahan mentah pertanian dan haiwan hidup juga mencatatkan pertumbuhan signifikan iaitu sebanyak 13.7% ,disokong harga minyak sawit mentah (MSM) yang lebih tinggi iaitu berkembang 35.4% pada November 2024," katanya dalam atu kenyataan, hari ini.

 

Sementara itu, Mohd Uzir berkata, jualan borong barangan isi rumah meningkat sebanyak 5% diikuti jualan borong makanan, minuman dan tembakau serta jualan borong jentera, peralatan dan bekalan yang masing-masing berkembang sebanyak 5.2% dan 7.9%.

 

Beliau menjelaskan, subsektor kenderaan bermotor yang mencatatkan pertumbuhan lebih perlahan iaitu 1.4% berbanding 2.7% pada bulan sebelumnya disebabkan terutamanya oleh penurunan dalam jualan kenderaan bermotor yang mengalami pertumbuhan negatif sebanyak 4.3%.

 

Katanya, trend yang sama turut dilihat dalam data Persatuan Automotif Malaysia (MAA), yang melaporkan penurunan sebanyak 7.8% dalam jumlah unit yang dijual, dan dalam data pendaftaran kenderaan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), yang menunjukkan penurunan sebanyak 6.6%. 

 

Prestasi lemah dalam kumpulan jualan kenderaan bermotor pada bulan November 2024 boleh dikaitkan dengan pengguna yang menangguhkan pembelian untuk menunggu kemungkinan diskaun atau rebat akhir tahun. 

 

Selain itu, penyelenggaraan dan pembaikan kenderaan bermotor serta jualan, penyelenggaraan dan pembaikan motosikal mencatatkan peningkatan yang ketara, masing-masing sebanyak 6.3% dan 13.7%. - DagangNews.com