Harga koko naik, AmInvestment kekal berhati-hati terhadap prospek jangka pendek Guan Chong | DagangNews Skip to main content

Harga koko naik, AmInvestment kekal berhati-hati terhadap prospek jangka pendek Guan Chong

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Nov - AmInvestment Bank Research kekal berhati-hati terhadap prospek jangka pendek Guan Chong Berhad kesan peningkatan harga koko ekoran penghasilan biji koko yang lemah.

 

Katanya, keadaan itu mungkin diburukkan lagi dengan penangguhan penghantaran produk disebabkan kebimbangan pelanggan terhadap harga koko yang tinggi.

 

"Harga koko meningkat sebanyak 63% kepada AS$4,244 bagi setiap tan dan firma penyelidikan itu percaya bahawa ia akan terus meningkat memandangkan penghasilan biji koko yang rendah di Afrika Barat akibat cauca, penyakit buah dan virus," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Pendapatan 9MFY23 Guan Chong sebanyak RM86 juta meleset daripada jangkaan, menyumbang hanya 65% daripada ramalan keuntungan bersih FY23 dan 55% daripada konsensus. 

 

Varians negatif adalah disebabkan kos kewangan yang lebih tinggi. Sebagai perbandingan, 9MFY22 menyumbang 87% daripada keuntungan bersih teras FY22.

 

AmInvestment berkata, hasil 9MFY23 meningkat 8% berikutan harga jualan produk koko yang lebih tinggi.

 

Bagaimanapun, pendapatan turun 33% dipengaruhi margin pengisaran yang lebih rendah ditambah dengan peningkatan kos kewangan pada kadar faedah yang tinggi.

 

"Pendapatan 3QFY23 sebanyak RM34 juta meningkat sebanyak 20% berikutan pertumbuhan hasil 11%, hasil daripada harga jualan yang lebih tinggi untuk mentega koko, pepejal koko dan coklat industri walaupun kos kewangan meningkat.

 

"Pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) kumpulan bertambah baik sebanyak 11% didorong oleh operasi di Jerman dan Singapura disebabkan purata harga jualan coklat industri yang lebih baik dan harga tenaga yang lebih rendah," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga wajar (FV) lebih rendah RM2.29 berbanding RM2.47 sesaham sebelum ini," katanya. - DagangNews.com