Harga mahal, kemungkinan Maxis beli U Mobile rendah - AmInvestment | DagangNews Skip to main content

Harga mahal, kemungkinan Maxis beli U Mobile rendah - AmInvestment

U Mobile merupakan syarikat telekomunikasi ketiga terbesar dengan 18% bahagian pasaran. -Gambar U Mobile
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 17 Julai - AmInvestment Bank Research (AmInvestment) berkata, kemungkinan Maxis Bhd, syarikat telekomunikasi yang dikawal jutawan, Tan Sri Ananda Krishnan untuk mengambil alih U Mobile Sdn Bhd seperti dilaporkan Bloomberg semalam adalah rendah. 

 

Firma penyelidikan itu berpendapat, hal ini sukar berlaku kerana faktor kekangan kewangan disebabkan oleh harga pemerolehan yang tinggi di samping isu kelulusan pihak berkuasa bagi mengelakkan berlakunya penguasaan pasaran oleh dua pembekal atau duopoli.

 

"Memandangkan Maxis akan melabur dalam rangkaian 5G, dana syarikat telekomunikasi itu mungkin berkurangan. 

 

"Di samping itu, pemerolehan itu mungkin tidak mendapat kelulusan kawal selia kerana ia akan mengakibatkan duopoli dengan dua pemain rangkaian mudah alih yang besar dalam industri berbanding tiga gergasi pada masa ini, iaitu CelcomDigi, Maxis dan UMobile," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Maxis pertimbang beli U Mobile bagi bantu perkembangan di negara Asia - Bloomberg

 

AmInvestment berpendirian 'Neutral' terhadap laporan pengambilalihan U Mobile oleh Maxis jika ia berlaku memandangkan prestasi kewangan tahun kewangan 2023 (FY23) UMobile tidak didedahkan kerana ia tidak disenaraikan. 

 

Bagaimanapun, kata firma penyelidikan itu, berdasarkan semakan saluran, pelabur telah memperuntukkan lebih RM5 bilion untuk pertumbuhannya.

 

"Jika harga pemerolehan UMobile ialah RM10 bilion seperti yang dilaporkan, harga itu akan membentuk 37% daripada had pasaran semasa Maxis sebanyak RM27 bilion. 

 

"Dengan mengandaikan nisbah pembiayaan hutang dan ekuiti 50/50, hutang RM5 bilion tambahan akan meningkatkan hutang bersih FY24F Maxis kepada EBITDA kepada 3.5x daripada 2.2x. Maxis juga mungkin perlu melakukan panggilan tunai," jelasnya.

 

Tambah AmIvestment, sumber kewangan besar yang ditujukan ke arah pengambilalihan juga akan menjejaskan aliran tunai dan mengehadkan dana yang tersedia untuk pelaburan infrastruktur 5G yang penting. 

 

"Ini boleh melambatkan pembangunan 5G Maxis dan kedudukan kompetitifnya dalam pasaran.

 

"Selain itu, kami berpendapat bahawa pengawal selia mungkin meneliti perjanjian itu kerana ia boleh menyebabkan kurang persaingan dalam pasaran.

 

"Pada FY23, U Mobile merupakan syarikat telekomunikasi ketiga terbesar dengan 18% bahagian pasaran, mengekori 27% bahagian pasaran Maxis. Selepas pengambilalihan, Maxis akan mempunyai bahagian pasaran sebanyak 45%, menghampiri bahagian CelcomDigi sebanyak 47%," ujarnya.

 

Bloomberg yang memetik sumber terdeka melaporkan Maxis sedang mempertimbangkan untuk membeli U Mobile bagi membantunya berkembang di negara Asia.

 

Ahli perniagaan Malaysia, Tan Sri Vincent Tan dan Singapore Technologies Telemedia Pte Ltd yang disokong Temasek Holdings Pte Ltd merupakan antara pemegang saham utama U Mobile. - DagangNews.com