Harga minyak berubah-ubah menjelang mesyuarat OPEC+ | DagangNews Skip to main content

Harga minyak berubah-ubah menjelang mesyuarat OPEC+

 

 

NEW YORK 31 Mac - Harga minyak mentah tidak menentu menjelang mesyuarat Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutunya (OPEC+) yang akan membuat keputusan mengenai pengeluaran. 

 

Menurut Bloomberg, pakatan itu bagaimanapun dijangka dapat mengekalkan pendiriannya yang berhati-hati untuk meningkatkan bekalan dengan mengambil kira kebimbangan jangka pendek terhadap permintaan. 

 

West Texas Intermediate bagi penghantara Mei meningkat 0.2% kepada AS$60.67 setong setakat 9.37 pagi waktu Singapura di New York Mercantile Exchange.

 

Brent pula menokok 0.5% kepada AS$64.47 setong di ICE Futures Europe Exchange menjelang penamatan kontrak itu pada Rabu.

 

Ketua Strategi Pemasaran Global, Stephen Innes berkata, krisis di Terusan Suez telah memberi laluan kepada peningkatan dolar AS dan lonjakan semula COVID-19.

 

"Ini meningkatkan lebih banyak persoalan mengenai sepantas mana permintaan global akan pulih," katanya kepada Bloomberg

 

Data ekonomi dan unjuran menunjukkan ke arah pemulihan, menandakan petanda yang baik bagi permintaan minyak. 

 

Di rantau Asia, ukuran rasmi pembuatan China meningkat kepada 51.9 pada Mac. 

 

Pada minggu hadapan, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) akan menyemak unjuran bagi pertumbuhan global, dipacu oleh prospek ekonomi China dan Amerika Syarikat (AS), tetapi memberi amaran sebarang varian baharu wabak itu akan memperlahankan pertumbuhan semula ekonomi. 

 

Sejak beberapa minggu ini, harga minyak merosot ekoran situasi COVID-19 di beberapa negara pada ketika permintaan mula meningkat jika semakin ramai menerima vaksin. - DagangNews.com