Harga minyak cecah paras 13 bulan tertinggi | DagangNews Skip to main content

Harga minyak cecah paras 13 bulan tertinggi

 

 

TOKYO 15 Feb. - Harga minyak mentah melonjak ke paras 13 bulan tertinggi dalam dagangan Isnin ekoran ketegangan yang tercetus di Asia Barat. 

 

Lapor Reuters, situasi ini mendorong kepada pembelian baharu, meningkatkan harapan terhadap rangsangan ekonomi Amerika Syarikat (AS) dan kelonggaran sekatan akan meningkatkan semula permintaan bahan api.

 

Brent menokok AS$1.09 atau 1.8% kepada AS$63.52 setong setelah meningkat setinggi AS$63.76 sejak 22 Januari 2020. 

 

Bagi harga minyak AS, West Texas Intermediate (WTI), ia naik AS$1.28 atau 2.2% kepada AS$60.75 setong, mencecah paras tertinggi sejak 8 Januari tahun lalu pada AS$60.95 setong dalam sesi sebelum itu. 

 

Sepanjang minggu lalu, harga minyak melonjak sekitar 5%. 

 

Semalam, stesen televisyen negeri melaporkan gabungan yang dipimpin Arab Saudi bertempur di Yaman selepas ia memintas dan menghancurkan dron yang penuh bahan letupan ditembak puak Haouthi yang berpihak kepada Iran, dikhuatiri mencetuskan ketegangan di Asia Barat. 

 

Ketua Penganalisis Komoditi Fujitomi Co., Kazuhiko Saito menyifatkan laporan berkenaan telah mendorong kenaikan harga minyak. 

 

"Tetapi dalam masa sama, harapan terhadap rangsangan ekonomi AS dan sekatan yang dilonggarkan turut menjadi pemacu yang merangsang pertumbuhan dan permintaan bahan api," katanya. 

 

Presiden AS, Joe Biden mengajukan perundangan utama bagi penggal pertama pada Jumaat lalu, beralih kepada sekumpulan pegawai tempatan bipartisan untuk mendapatkan bantuan dalam rancangan bantuan COVID-19 bernilai AS$1.9 trilion.

 

Selain itu, kenaikan harga minyak sejak beberapa minggu ini juga didorong oleh kekangan bekalan, dengan sebahagian besarnya disebabkan pengurangan bekalan oleh Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutunya yang dikenali, OPEC+.

 

Penganalisis komoditi Rakuten Securities, Satoru Yoshida berkata, pasaran saham global yang menokok juga turut meningkatkan kecenderungan risiko pelabur. 

 

Pasaran saham di Asia mencecah rekod tertinggi dalam dagangan hari ini ekoran kejayaan pelancaran vaksin COVID-19 di peringkat global sekali gus meningkatkan harapan terhadap pemulihan ekonomi di tengah-tengah bantuan fiskal baharu AS. - DagangNews.com