Harga minyak dijangka lebih baik minggu ini sejak Mei | DagangNews Skip to main content

Harga minyak dijangka lebih baik minggu ini sejak Mei

NEW YORK 9 Okt. - Taufan Delta yang mula bergerak ke perairan Amerika Syarikat (AS) memaksa operator menutup hampir 92% pengeluaran minyak mentah di Teluk Mexico sekali gus menyaksikan harga minyak akan mengalami lonjakan terbesar mingguan sejak Mei. 

Menurut Bloomberg, niaga hadapan melonjak lebih tinggi pada hari kedua dan setakat minggu ini sudah meningkat hampir 12 peratus.  

Kenaikan harga minyak ini juga dalam masa sama disebabkan mogok pekerja-pekerja sektor minyak dan gas di Norway, yang mengancam hampir suku daripada pengeluaran negara. 

Walaupun harga minyak kembali berlegar melebihi paras AS$41 (RM170.21) setong, namun peningkatan seterusnya agak terbatas disebabkan perbincangan pakej rangsangan fiskal yang belum mencapai kata putus pada ketika permintaan masih lagi terkesan dengan pandemik. 

Speaker Dewan Negara, Nancy Pelosi berkata, tidak ada sebarang rang undang-undang sendiri yang akan membantu syarikat penerbangan atau mana-mana sektor ekonomi tanpa perjanjian pakej yang lebih luas. 

Minyak AS, West Texas Intermediate bagi penghantaran November meningkat 0.1% kepada AS$41.23 (RM171.17) setong di New York Mercantile Exchange setakat 7.24 pagi tadi.  

Harga minyak Brent untuk Disember pula meningkat 3.2% kepada AS$43.34 (RM179.93) setong untuk mengakhiri sesi di ICE Futures Europe exchange, paras tertinggi sejak 3 September 2020. Mengikut waktu Singapura, Brent menokok 3% pada Khamis. 

Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) menjangkakan harga jualan minyak akan lebih baik apabila bebas daripada wabak tersebut, selepas penurunan harga pada tahun ini dan persaingan yang teruk dari AS.

Pada masa sama, kartel pengeluar turut meningkatkan ramalan untuk jumlah minyak yang perlu dibekalkan bagi tempoh lebih empat tahun, berbanding unjuran tahun lalu yang mereka akan kehilangan penguasaaan pasaran pada pertengahan dekad ini. - DagangNews.com