Harga minyak jatuh, apa petandanya? | DagangNews Skip to main content

Harga minyak jatuh, apa petandanya?

 

KUALA LUMPUR 19 Mac - Buat pertama kali dalam tempoh setahun, harga minyak mentah Brent mencanak sehingga AS$70 setong. 

 

Umum mengetahui, pergerakan menaik sejak April 2020 ini ekoran Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC+) ‘sebulat suara’ mahu mengekalkan pengeluaran yang rendah sehinggalah setakat bulan Mac.

 

Turut dibantu oleh serangan terhadap kompleks minyak Arab Saudi yang berjaya mendorong minyak mentah Brent melepasi AS$70 setong.

 

Tetapi, prestasi harga komoditi itu semalam (Khamis) secara tiba-tiba menjunam sehingga 7%, dengan niaga hadapan mentah West Texas Intermediate menguncup sebanyak 9.9%.

 

Jika diteliti secara mendalam terhadap indikator teknikal minyak mentah, harga komoditi itu melonjak terlampau cepat pada bulan ini. 

 

Ini dilihat sebagai petanda mengapa harga minyak mentah menyusut semalam.

 

Menurut Bloomberg, dolar Amerika Syarikat (AS) yang mengukuh dengan berita mengenai pengedaran vaksinasi terhenti di beberapa negara semakin membebankan pasaran minyak.

 

Hampir semua pakar melihat penyusutan harga minyak itu bukan sesuatu yang baik. 

 

Bagi penganalisis komoditi di UBS Group AG, Giovanni Staunovo, menjadi perkara biasa jika terdapat penyusutan harga ketika pasaran sedang berada di landasan pemulihan jangka masa panjang. 

 

“Tetapi, dengan OPEC dan sekutunya mengambil pendekatan berhati-hati dari segi pengeluaran, pasaran minyak seharusnya kekurangan bekalan dan harga akan kembali pulih,” katanya.

 

Antara peralihan yang ketara dapat dilihat dalam pasaran minyak pada tahun ini adalah pergerakan niaga hadapan minyak yang terus melengkung ke arah pola menaik, dikenali sebagai pembalikan (backwardation).

 

Pembalikan merupakan petunjuk utama bahawa permintaan sedang mengukuh dan bekalan pula meruncing. 

 

Ini bermaksud, pembeli mahukan minyak mentah secepat mungkin dan bersedia untuk membayarnya.

 

Namun, pola itu boleh berubah sekiranya penjualan berlaku untuk selama beberapa hari.

 

“Lengkungan pembalikan tidak lagi begitu ‘curam’ seperti sebelum ini. 

 

“Kedudukan jangka panjang (going long) tenaga menjadi pembukaan semula perdagangan sejak 1 Januari tahun ini. 

 

“Ketika ini, anda sedang melihat sudut pandang untuk memperoleh semua keuntungan ini, dan mengambilnya kembali,” kata ahli pengurusan program makro global di Tyche Capital Advisors LLC. - DagangNews.com