NEW YORK 12 Okt. - Harga minyak jatuh pada hari kedua selepas operasi di Teluk Mexico kembali beroperasi disebabkan taufan Delta yang menyaksikan niaga hadapan di New York jatuh di bawah AS$40 (RM165.54) setong.
Menurut Bloomberg, harga minyak susut 1.4%, Jumaat lalu yang turut didorong oleh mogok para pekerja minyak di Norway.
Selepas taufan Delta, pekerja dan operator kapal tunda bekerja semula pada Sabtu lalu, yang telah menyebabkan kira-kira 92% pengeluaran minyak dan 62% pengeluaran gas ditutup.
Malah, harga minyak juga melonjak hampir 10% minggu lalu disebabkan taufan tersebut dan juga harapan supaya lebih banyak suntikan pakej rangsangan ekonomi.
West Texas Intermediate bagi penghantaran November jatuh 1.5% kepada AS$39.99 (RM165.50) setong di New York Mercantile Exchange pukul 8.18 pagi waktu di Singapura. Kontrak itu meningkat 9.6% minggu lalu.
Brent bagi penghantaran Disember pula jatuh 1.5% kepada AS$42.22 (RM174.73) setong di ICE Futures Europe selepas susut 1.1% Jumaat lalu.
Iraq menjangkakan harga minyak mentah akan berlegar sekitar AS$41 (RM169.68) setong hingga AS$42 (RM173.82) setong tahun ini sebelum meningkat kepada AS$45 (RM186.23) setong pada suku pertama 2021, menurut laporan Al-Sabah yang memetik temu bual dengan Menteri Minyak, Ihsan Abdul Jabbar. - DagangNews.com